Malaysia Dateline

Amanah mampu rampas Dun Permatang Pasir

AMANAH mampu merampas bukan saja kerusi tunggal Dun Permatang Pasir yang dimenangi Pas dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu, malah empat lagi kerusi yang pernah ditandingi Pas sebelum ini, AMANAH mampu memberi kejutan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil ketika ditermui kelmarin.

Faiz menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kubang Semang, Permatang Pauh baru-baru ini.

Menurut Faiz lagi, AMANAH kawasan Permatang Pauh menyantuni pelbagai golongan masyarakat di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Penanti, Permatang Pasir dan juga Seberang Jaya.

“Selain turun padang mendengar keluhan masyarakat, AMANAH juga menyantuni masyarakat keturunan Cina secara rutin bagi menjelaskan kepada mereka betapa perlunya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat.

“Kita mendengar masalah yang mereka hadapi dan cuba menyelesaikan semampu mungkin termasuklah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri yang ada.

“Setakat ini dengan komitmen yang bersungguh-sungguh anggota komponen PH, AMANAH optimis kerusi Permatang Pasir yang dimenangi Pas dalam pilihan raya umum yang lalu tidak sukar untuk diambil alih menjelang PRU14.

Beliau juga berkata, ziarah menemui warga emas dan mereka yang sakit menjadi rutin yang telah pun dilaksanakan bersama-sama dengan ARIF dan juga AWAN.

Ziarah kebajikan Amanah Permatang Pauh di Tanah Liat, Permatang Pauh.

“Dalam musibah banjir yang berlaku pada awal November lalu, AMANAH telah menyalurkan pelbagai bentuk sokongan serta bantuan termasuk makanan, pakaian maupun bantuan pasca banjir.

“Kini menjelang sesi persekolahan yang akan bermula awal Januari tidak lama lagi, AMANAH Permatang Pauh telah pun turun padang membantu keluarga miskin dan tidak berkemampuan.

“Kawasan Dun Permatang Pasir menjadi tumpuan kerana AMANAH mendapati pengundi dalam kawasan tersebut semakin yakin dengan komitmen yang telah diberikan oleh AMANAH Permatang Pauh,” tegasnya.

Malah ujarnya lagi, selain merampas kerusi Dun Permatang Pasir yang merupakan kerusi tunggal yang dimenangi Pas di Pulau Pinang, AMANAH mempunyai peluang untuk menguasai kerusi Permatang Berangan, Sungai Dua, Penaga dan Bayan Lepas.

“Komitmen yang bersungguh-sungguh daripada komponen PH seperti PKR, Bersatu dan DAP memperlihatkan hasrat yang begitu tinggi untuk menawan kerusi-kerusi yang dimenangi Pas dan juga Umno di Pulau Pinang.

“10 kerusi yang dimenangi Umno di Pulau Pinang dalam PRU13 lalu turut disasarkan untuk dirampas dalam PRU14 nanti.

“Pelbagai program peduli rakyat yang telah pun diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya meyakinkan rakyat negeri ini bahawa kerajaan PH boleh menerajui kepimpinan dan harus dikekalkan,” jelasnya.

Kata Faiz lagi, dalam PRU13 lalu Pas hanya mampu mempertahankan kerusi Dun Permatang Pasir walaupun mereka bertanding enam kerusi Dun.

Namun begitu tambahnya, kemenangan yang diperolehi sebelum ini adalah hasil sokongan yang diterima dengan kerjasama komponen Pakatan Rakyat.

Oleh kerana itu ujarnya, senario politik terkini amat jauh berbeza setelah pengundi kecewa dengan kerjasama yang dijalinkan oleh Pas bersama-sama dengan Umno sehinggakan nasib rakyat tidak terbela.

“Adalah menjadi harapan lebih 22 ribu pengundi yang ada di Dun Permatang Pasir untuk memberi mandat kepada AMANAH dan PH untuk bersama-sama membawa perubahan kepada Dun tersebut.

“Manakala lebih 72 ribu pengundi yang ada dalam Parlimen Permatang Pauh diharapkan akan terus memberi mandat kepada PKR dan PH untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah sebelum ini.

“Sementara itu kemenangan kerusi-kerusi yang akan ditandingi AMANAH dalam PRU14 akan datang di Pulau Pinang mampu membawa perubahan kerana ia didokong oleh sebuah kerajaan negeri yang peduli rakyat,” tambahnya lagi.