AMANAH Melaka rayu orang ramai bantu mangsa banjir Pulau Pinang

AMANAH Melaka rayu orang ramai bantu mangsa banjir Pulau Pinang

Atas keprihatinan dan rasa simpati terhadap ribuan rakyat Pulau Pinang yang dilanda musibah banjir buruk yang bermula Sabtu lalu, Parti AMANAH Negeri Melaka, melalui Biro Kebajikan dan Kecemasan parti itu telah melancarkan misi mencari dana menerusi kempen Rayuan Bantuan Mangsa Musibah Banjir Di Pulau Pinang pada 5 November lalu untuk disalurkan kepada mangsa terlibat.

Pelancaran dan hebahan kempen rayuan pungutan sumbangan tersebut telah dibuat oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab menerusi rakaman video di laman sosial Facebook Amanah Negeri Melaka pada tarikh berkenaan.

Parti AMANAH Negeri Melaka katanya, berasa sedih dan dukacita atas musibah yang menimpa rakyat Pulau Pinang itu.

Sofi Wahab

Sehubungan itu katanya, bagi melahirkan rasa sedih dan simpati itu, pihaknya merayu kepada orang ramai supaya tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mereka yang ditimpa bencana itu.

Satu tabung kutipan telah dilancarkan bagi melaksanakan misi ini, justeru orang ramai yang ingin memberi sumbangan diminta menyalurkan dana sumbangan mereka ke Akaun Maybank No. 554 080 546 669 atas nama PARTI AMANAH NEGARA NEGERI MELAKA.

Banjir yang berlaku di Pulau Pinang kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di negeri itu. Banjir kali ini dikatakan kesan fenomena taufan Damrey yang sebelum ini telah melanda Vietnam.

“Kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin seharusnya membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan, dan oleh sebab itulah kami Parti AMANAH Negeri Melaka melancarkan kutipan derma kilat ini, bagi menyatakan rasa simpati terhadap mereka yang dalam kesusahan itu,” kata Sofi.

Parti AMANAH Negera Melaka juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah tampil menghulurkan sumbangan.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0
CATEGORIES