Amanah Melaka saran kerajaan negeri ambil langkah elak catuan air

Amanah Melaka saran kerajaan negeri ambil langkah elak catuan air

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah Negeri Melaka menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan catuan air kerana langkah ini akan menyukarkan penduduk.

Pengerusi Amanah negeri, Adly Zahari berkata, pihaknya memandang berat kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bahawa Melaka akan mengadakan catuan air sekiranya cuaca panas dan kering tanpa hujan berterusan sehingga awal Mei.

“Amanah Melaka berharap kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) harus memainkan peranan penting dalam memberikan kesedaran kepada pengguna untuk bersama-sama berusaha kepada penjimatan air.

“Penggunaan air secara berhemah juga dapat membantu mengelakkan pembaziran air,” tegas Adly.

Beliau turut menyarankan kerajaan negeri memantau tugas SAMB dalam menyelenggara aset air seperti memastikan kebocoran paip bekalan tidak berlaku agar pembaziran tanpa sedar dapat dielakkan.

Penyelenggaraan terhadap kolam takungan juga, katanya perlu kerap dilakukan bagi mengelak lumpur atau mendapan.

Pembersihan parit dan saliran juga, tambah beliau perlu diberi perhatian agar tiada gangguan terhadap aliran air ke kolam takungan manakala pelan jangka panjang bagi mengatasi kekurangan bekalan air dibuat kerana musim kemarau kini lebih sukar diramal.

Amanah Melaka juga menggesa kerajaan negeri untuk menyemak semula semua perjanjian penjualan air di antara SAMB dan syarikat air dari luar negeri Melaka.

“Sebagai contoh pada tahun 2015, SAMB dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah memeterai perjanjian air di mana SAMB bersetuju membekalkan 1.1 juta gelen air sehari kepada penduduk Tampin, Negeri Sembilan.

“Seharusnya rakyat Melaka diberi keutamaan sebelum penjualan air kepada negeri lain dilakukan,” kata Adly.

Beliau turut menyentuh indeks kehilangan air terawat Melaka yang mencecah 22% berbanding Puau Pinang 18%.

Kadar kehilangan air terawat ini, jelasnya perlu dikuangkan bagi mengelakkan pembazian khususnya di musim kemarau.

Amanah Melaka juga, ujar Adly berharap seluruh rakyat negeri Melaka sama-sama berdoa agar hujan akan turun dan tiada catuan air mahupun terputus bekalan air bersih berlaku.

TAGS