Malaysia Dateline

AMANAH Melaka saran kerajaan pertimbang kurangkan kos yuran IPT pelajar

Pemuda AMANAH Melaka menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan yuran pembiayaan pembelajaran para siswazah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuatkuasa.

Ketuanya, Muhammad Khomeini Kamal berkata, sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan ini ramai rakyat Malaysia terjejas dari sudut kewangan dan pendapatan harian mereka selain terpaksa berhadapan dengan isu peningkatan kos sara hidup.

Malah katanya, tidak terkecuali juga penuntut di IPTA dan IPTS yang kebanyakannya dari kalangan keluarga berpendapatan rendah B40 dan M40 yang mengalami impak ekonomi akibat PKP.

“Pemuda Amanah Melaka mengambil maklum beberapa pandangan dan cadangan daripada beberapa pihak termasuk mahasiswa/siswi agar yuran pengajian mereka sepanjang tempoh PKP ini dikurangkan.

“Ini kerana pengajian tidak dapat diteruskan akibat dari PKP dan sebahagian besar mereka menggunakan kemudahan sendiri sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pada masa sama, Khomeini berkata, dengan pengurangan yuran pengajian, secara tidak langsung ia dapat meringankan bebanan keluarga terutama yang terpaksa membiayai sendiri yuran anak mereka dan tidak mendapat apa-apa pinjaman atau pembiayaan pendidikan.

Jelasnya, pengurangan yuran juga dapat memberi keringanan kepada mahasiswa untuk mereka mempunyai lebihan wang untuk berbelanja sepanjang tempoh PKPB ini.