Amanah Melaka saran SPR wujudkan parlimen baharu

Amanah Melaka saran SPR wujudkan parlimen baharu

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka membantah syor persempadanan baharu bahagian-bahagian Pilihanraya Dewan Undangan Negeri  (Dun) dan Parlimen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Mohd Sofi WahabParti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka membantah syor persempadanan baharu bahagian-bahagian Pilihanraya Dewan Undangan Negeri  (Dun) dan Parlimen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Amanah mendapati syor 2017 ini jauh berbeza dengan syor yang pertama dulu di mana kali ini hanya 2 kawasan parlimen yang terlibat iaitu Parlimen Bukit Katil dan Kota Melaka.

Dalam syor tersebut SPR telah melakukan pindaan dan perubahan nama kawasan sedia ada kepada nama baharu selain melakukan pemindahan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) membabitkan Parlimen Bukit Katil dan Kota Melaka.

Timbalan Pengerusinya Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, parti itu mendesak agar SPR mengwujudkan 1 parlimen baharu iaitu cantuman sebahagian kawasan Parlimen Kota Melaka dan Bukit Katil bagi memastikan bilangan pengundi di parlimen-parlimen tersebut tidak melebihi 70,000 orang.

Dan menyarankan SPR mengwujudkan 3 Dun baharu dengan memecahkan Dun yang pengundinya melebihi 20,000 orang.

Mohd Sofi menjelaskan, dalam syor 2017 itu tiada Parlimen dan Dun baharu diwujudkan oleh SPR sebaliknya hanya pindaan dan perubahan nama di cadangkan.

Perubahan nama itu membabitkan Parlimen Hang Tuah Jaya bagi mengantikan Bukit Katil. Manakala empat lagi membabitkan DUN Machap Baru (Nama Asal: Machap); Pengkalan Batu (Bachang);Taman Tasek(Ayer Keroh); Bukit Katil (Bukit Baru) dan; Limbongan (Kesidang).SPR turut melakukan pemindahan PDM.

“PDM Taman Melaka Baru (3,875 pemilih), PDM Batu Berendam (3,408 pemilih) dan Taman Merdeka (5,948 pemilih) kesemuanya dalam DUN Taman Tasek (Ayer Keroh) dipindahkan Dun Limbongan (Kesidang) dalam Parlimen Kota Melaka. Jumlah yang dipindahkan ialah 13,231
Pemilih.

“PDM Malim Jaya (5000 pemilih) dan PDM Taman Asean (5169 pemilih) yang kedua-duanya DUN Pengkalan Batu (dulunya Bachang) dipindahkan juga ke DUN Limbongan (dulunya Kesidang) dalam Parlimen Kota Melaka. Jumlah yang dipindahkan ialah 10,169 pemilih.

“Jadi jumlah keseluruhan pemilih yang dipindahkan dari Parlimen Hang Tuah Jaya ke Kota Melaka adalah 23,400 pemilih.

“Ini menjadikan Parlimen Hang Tuah Jaya menurunkan pemilihnya dari 104,234 kepada 80,834, iaitu berkurang sebanyak 23,400 pemilih.

“Manakala Parlimen Kota Melaka meningkat pemilihnya dari 93,761 kepada 117,161 pemilih iaitu meningkat sebanyak 23,400 pemilih,” terangnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Amanah berpandangan syor baharu yang dibuat oleh SPR berbanding syor pertama setelah siasatan tempatan dan bantahan kali pertama dijalankan pada 28 November hingga 30 November 2016 yang lalu, adalah tidak logik.

“Pembahagian bilangan pengundi yang tidak seimbang di mana Parlimen Kota Melaka mempunyai bilangan pengundi yang jauh berbeza dengan Parlimen Hang Tuah Jaya walaupun kedua-duanya di dalam kawasan bandar. Malah ianya sangat besar jumlah pengundi di Masjid Tanah dan Alor Gajah.

“Jumlah pengundi yang besar iaitu 117,161 di Kota Melaka menyebabkan wakil rakyat yang dipilih nanti tidak dapat menjalanka tugas dengan berkesan.

“Terdapat Dun yang pengundinya besar melebihi 20,000 yang sepatutnya diujudkan Dun-Dun baru bagi mengurangkan jumlah pengundi,” ujarnya.

Mohd Sofi mendakwa syor dikemukakan SPR ini dipengaruhi oleh kepentingan politik Barisan Nasional (BN) bersandarkan kesemua PDM yang dipindahkan dari Parlimen Hang Tuah Jaya ke Kota Melaka adalah PDM yang majoritinya pengundi Tionghua yang menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan.

“Dengan pemindahan ini BN mengharapkan mereka menawan Parlimen Hang Tuah Jaya dari PKR dan memberikan kemenangan percuma kepada DAP di Parlimen Kota Melaka,” ujarnya.

TAGS