Amanah dan tanggungjawab bantu Presiden tidak pernah diabaikan, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan  amanah  yang dipertanggungjawabkan pada  beliau selaku Timbalan Presiden  Umno  untuk membantu Presiden Umno, Datuk Seri Mohd  Najib Razak tidak pernah diabaikannya.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, taati pemimpin yang taat perintah Allah s.w.t, amanah,jujur berintegriti,  bersih  dan jauhi perkara mungkar.Tan Sri Muhyiddin  Yassin menjelaskan  amanah  yang dipertanggungjawabkan kepada beliau selaku Timbalan Presiden  Umno  untuk membantu Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak pernah diabaikannya.

Muhyiddin  mengatakan, beliau telah  melaksanakan tangungjawab sebaik mungkin kepada Presiden  Umno dan parti selama menjawat jawatan Timbalan Presiden untuk membantu Presiden menerajui jentera Umno dan Barisan Nasional (BN)  dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil menerusi peranannya sebagai Pengarah Pilihanraya.

“Saya mendengar dengan teliti ucapan Presiden Umno. Saya hargai peringatan Presiden bahawa tugas Timbalan Presiden di bawah Perlembagaan Umno ialah membantu Presiden manakala tugas Presiden pula menjaga kesempurnaan parti.

“Itulah yang telah saya lakukan selama ini. Sebagai Timbalan Presiden saya telah membantu Presiden menerajui jentera Umno dan BN dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil menerusi peranan saya sebagai Pengarah Pilihanraya.

“Saya juga telah membantu Presiden memastikan kelicinan pengurusan dan pentadbiran Umno menerusi peranan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Umno.

“Saya juga telah membantu Presiden menangani pelbagai permasalahan parti.

“Begitulah juga ketika saya menjawat jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi.

“Amanah membantu Presiden tidak pernah saya abaikan.

“Sebagai Timbalan Presiden yang dipiih oleh ahli, saya juga bertanggungjawab kepada parti dan ahli-ahli.

“Saya banyak mendengar suara akar umbi mengenai pelbagai permasalahan yang berkait dengan kepimpinan parti.

“Maka tanggungjawab saya ialah untuk memberikan nasihat kepada Presiden supaya mendengar suara ahli akar umbi parti dan segera membetulkan keadaan.

“Sebaliknya saya disingkirkan, disisih malah dihalang daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden. 

“Saya tidak dibenarkan berucap secara lazimnya dalam perhimpunan ini dan sudah tentu pandangan saya ini tidak dapat disampaikan kepada perwakilan secara terus. Pentas dalam perhimpunan kali ini tidak sama rata.” ujarnya dalam satu kenyataan balas terhadap ucapan dasar Presideni  ketika Perasmian Perhimpunan Agung Umno semalam,  telah menyebut akan tugas dan tanggungjawab seorang  Timbalan Presiden , Naib Presiden dan ahli Umno   terhadap pemimpin dan parti.

Kata Ahli Parlimen Pagoh ini lagi, dalam Islam kita dituntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Hal ini kata beliau, telah disebut dalam ucapan dasar Najib semalam.

Sebaliknya Muhyiddin berkata, pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada titah perintah Allah s.w.t, amanah,jujur berintegriti dan bersih serta menjauhi perkara yang mungkar.

“Saya berharap agar perbahasan yang berlangsung sepanjang perhimpunan ini, termasuk perbahasan mengenai ucapan dasar Presiden menyentuh perkara penting yang dapat menarik semula kepercayaan rakyat kepada Umno.Berbahaslah secara jujur dan benar,” ujarnya.

 

TAGS