Malaysia Dateline

AMANAH menjunjung keharmonian di Sarawak

Parti AMANAH Negara sentiasa menjunjung keharmonian dan perpaduan antara kaum lebih-lebih lagi di negeri Sarawak.

Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak Fadillah Sabali berkata, walaupun Sarawak dihuni oleh pelbagai etnik, budaya dan agama, namun keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri itu dilihat kukuh dan bersatu padu.

Justeru, katanya AMANAH akan memperjuangkan tujuh nilai bagi memantapkan lagi keharmonian di negeri ini terus dijaga tanpa timbul sebarang perasaan prejudis antara satu sama lain.

“Tujuh nilai yang kita yang perjuangkan ialah amanah, progresif, peduli, muafakat, adil, inklusif dan sederhana sekali gus secara jelas dapat menggarap idea perpaduan kaum yang lebih hormani dan berkembang secara praktikal.

“Ini dapat dilihat dengan keahlian AMANAH yang inklusif kepada semua kaum dan agama, tanpa mengira latar belakang sosial, tahap akademik serta budaya di satu-satu tempat.

“Maka dengan tujuh nilai ini, saya yakin perpaduan di negeri ini akan sentiasa dijaga dengan kukuh tanpa sebarang prejudis antara satu sama lain,” ujar beliau.

Menurut Fadillah, merujuk terdapat beberapa pihak yang cuba melabelkan sesuatu perkauman dalam sesebuah parti adalah amat tidak peka dengan geografi dan sentimen di negeri ini.

“Oleh demikian, apabila melabelkan terdapat parti dari Semenanjung atau parti tempatan, ia secara sendiri cuba memecah-belahkan keharmonian kaum di negeri ini.

“Keadaan ini sangat berbahaya kerana kita tidak mahu generasi akan datang dilihat ekstrim dalam isu perkauman dan seharusnya perpaduan itu semakin kukuh dari semasa ke semasa,” jelas beliau lagi.

Tambahnya lagi, AMANAH Sarawak sentiasa mengingatkan hal berkenaan kepada ahli-ahlinya supaya tidak menyentuh sebarang isu yang boleh mencetuskan ketidakselesaan kaum lain di negeri ini.

“AMANAH sangat menjunjung keharmonian di Sarawak dan sentiasa mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk terus kekal bersama bersatu padu dalam apa jua situasi,” ujarnya.