Amanah menyelamat maruah perjuangan Islam, tegas Ustaz Fakhrul

Amanah menyelamat maruah perjuangan Islam, tegas Ustaz Fakhrul

Amanah terus mengorak langkah untuk menjadi penerus bukan mengkhianati perjuangan Islam, tegas Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ustaz Fakhrul Razi Mokhtar.

Kewujudan Amanah, ujarnya, adalah bagi mempertahan dan menyelamatkan maruah Islam selepas banyak dirosakkan oleh kepimpinan Pas.

“Bahkan golongan non-Muslim pun melihat berlakunya banyak maki hamun, label melabel serta tidak konsisten prinsip.

“Sikap memusuhi juga meresap pada segelintir pimpinan utama yang kononnya mendakwa pejuang Islam sebenar,” jelasnya yang dipercayai merujuk kepada Pas.

Beliau berkata, tuduhan Amanah sebagai mengkhianati Islam ketika musim kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini berlaku apabila Amanah dilihat sebagai ancaman kepada Pas.

Menurutnya, Amanah bukanlah parti yang bersekongkol dengan kezaliman pemerintah untuk digelar pengkhianat.

“Khianatkah kalau Amanah terus konsisten melawan rejim BN? Khianatkah kalau Amanah terus melawan kezaliman dan penyelewengan?

“Khianatkah kalau Amanah terus menyampaikan mesej Islam kepada non Muslim di negara ini?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fakhrul Razi berkata, politik merupakan wadah untuk dakwah bukan akidah, justeru tidak salah berbeza atau banyak pandangan.

“Salahnya apabila kita hanya dengan rasa pandangan sendiri. Pendapat kita saja yang betul. Ini .menyempitkan Islam itu sendiri sedangkan Islam meraikan kepelbagaian pandangan,” tambahnya.

Beliau turut menyifatkan Pas sudah ketandusan idea sebaliknya cuba mewujudkan persepsi buruk kepada Amanah.

“Mereka (Pas) sendiri gagal menjelaskan isu yang dibangkitkan termasuk berkaitan jenayah dan salah guna kuasa yg merupakan maksiat dan harus dihapuskan bukan dibela atau dinasihati,” bidasnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)