AMANAH mesti jadi pembela pelihara asas perlembagaan

AMANAH mesti jadi pembela pelihara asas perlembagaan

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Salahuddin Ayub merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional yang bermula malam tadi di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan berkata, parti itu harus mengambil jalan tengah dan pendekatan yang sederhana.

“Apabila bercakap soal reformasi institusi, maka perubahan yang dibuat harus radikal dan menyeluruh.

“Tetapi pada perkara-perkara yang melibatkan perubahan mentaliti dan budaya, Pemuda AMANAH harus bertegas bahawa jalan yang lebih panjang, yang menuntut kesabaran dan kebijaksanaan harus diambil,” ujarnya malam tadi.

Berucap pada Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional di Kuala Kangsar, beliau berkata, persoalan keadilan sosial, misalnya polisi-polisi afirmatif yang selama ini membantu masyarakat Melayu untuk bersaing dalam lapangan ekonomi, menuntut seni politik yang halus dan perancangan yang tersusun.

Jelasnya, langkah secara berperingkat dan menyeluruh untuk dilaksanakan supaya bukan sahaja matlamatnya tercapai tetapi juga dapat mengelakkan akibat yang tidak diingini.

“Semangat Malaysia Baharu ini juga diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membuat tuntutan yang boleh merosakkan keharmonian dalam negara kita.

“Perkara-perkara bersangkutan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu, semua ini adalah tiang seri kepada Perlembagaan Persekutuan yang harus semua pihak pertahankan,” tegasnya.

Para perwakilan Pemuda AMANAH dan tetamu jemputan memenuhi Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar

Sehubungan itu, Sany mengingatkan AMANAH mesti tampil ke depan menjadi pembela kepada sebarang usaha untuk merosakkan asas Perlembagaan negara ini.

Loading...

“Pemuda AMANAH tidak akan sesekali bersikap apologetik dalam perkara ini.

“Pada masa sama, Pemuda AMANAH harus tidak terperangkap dengan sentimen sempit perkauman yang boleh merosakkan perpaduan antara parti komponen Pakatan Harapan seterusnya melemahkan kerajaan baharu ini,” ujarnya lagi.