Malaysia Dateline

AMANAH mesti juarai naratif pembelaan Islam, Melayu

Masalah serius penyalahgunaan dadah di negeri-negeri majoriti Melayu serta penguasaan ekonomi Bumiputera menjadi fokus Perwakilan AMANAH Terengganu, Hasbie Muda.

Ketua Pemuda  AMANAH Terengganu itu berkata, statistik penagihan dadah adalah kritikal di negeri-negeri yang terdiri daripada ramai penganut Islam.

“Masalah utama umat Islam khususnya di negeri-negeri majoriti Melayu adalah dadah. Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis adalah negeri umat Islam teramai. Semuanya kini dikuasai pembangkang.

“Namun, AMANAH belum ada usaha yang bersungguh-sungguh menangani masalah ini sedangkan kita seharusnya meletakkan ia sebagai keutamaan,” ujarnya semasa membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional AMANAH 2019 semalam.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat Umno-Pas meletakkan isu berkaitan sentimen sempit perkauman mengatasi masalah sebenar dalam kalangan orang Melayu.

“Isu dadah kita tidak pernah bincang. Walhal, usaha untuk membanteras dadah ini terletak pada agensi di bawah kerajaan pusat,” tegas Naib Pengerusi AMANAH Terengganu itu.

Seruan agar AMANAH mengutamakan usaha menangani penyalahgunaan dadah yang berkait rapat dengan masalah sosial orang Melayu itu sekali gus menjadikan hanya Hasbie membawakan isu tersebut sepanjang slot perbahasan Pidato Presiden.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan AMANAH harus menjuarai naratif pembelaan Islam dan Melayu dalam isu-isu sebenar khususnya soal penguasaan ekuiti Bumiputera misalnya dalam saham Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Kalau merujuk kepada Laporan Tahunan ASB 2018, walaupun 9.6 juta daripada 20 juta umat Islam menyimpan di ASB dengan nilai sehingga RM155 bilion tetapi 76 peratus daripadanya hanya memiliki kurang daripada RM5,000 dengan nilai berjumlah hanya RM4.1 bilion.

“Manakala hanya 0.24 peratus atau 23,000 orang sahaja yang memiliki pegangan melebihi RM500,000 dengan nilai berjumlah RM127 bilion,” jelas Penyelaras Pakatan Harapan (PH) DUN Paka tersebut.

Sehubungan itu, Hasbie berkata, pegangan ekuiti yang rendah dikuasai orang Islam memerlukan kepedulian AMANAH agar relevan dengan suara rakyat.

“Jikalau kita gagal menangani isu pegangan ekuiti dalam orang Islam, AMANAH tiada rempat dalam hati orang Islam,” tegasnya.

Pegawai Tugas- Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu turut menyentuh tentang suara pemimpin AMANAH dalam mendukung ketegasan Tun Dr Mahathir berkaitan isu Islam di pentas antarabangsa.

“Perdana Menteri lantang tetapi suara pemimpin AMANAH tidak kedengaran atau mungkin ada, tapi tidak ketara,” ujarnya yang mencatat rekod perolehan undi tertinggi bagi pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional pada 5 Disember lalu.