Malaysia Dateline

AMANAH mohon Raja-Raja Melayu bertindak sebelum negara musnah lebih teruk

Rakyat kini sudah tidak ada sekelumit kepercayaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berasaskan tamak kuasa, bertopengkan Muafakat Islam dan Melayu.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, rata-rata merasakan kerajaan benar-benar telah menghampakan dan mengecewakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Justeru katanya, Majlis Raja-Raja Melayu perlu bertindak segera sebelum kemusnahan lebih besar melanda negara.

“Saya percaya semua (rakyat) tidak sanggup menyaksikan kemusnahan demi kemusnahan yang menyusahkan negara dan rakyat yang berlaku saban hari.

“Entah apa yang perlu ditunggu lagi? Para Menteri dan Pengerusi GLC bercakaran demi kuasa peribadi dan organisasi rapuh mereka.

“Mohon Majlis Raja-Raja Melayu bertindak segera sebelum kemusnahan lebih besar melanda negara,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau juga berkata, Ahli-ahli Parlimen pembangkang sudah bersedia untuk menyelamatkan negara.