Malaysia Dateline

AMANAH nafi desak Anwar letak jawatan

AMANAH menafikan berita yang mendakwa parti itu memberi tempoh sehingga tujuh hari kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, laporan yang memetik sumber dalaman parti itu adalah tidak benar dan berniat untuk melaga-lagakan AMANAH dengan Anwar.

Ini kerana katanya, kedudukan Ketua Pembangkang dan tugas mendapatkan kembali kerajaan dari Perikatan Nasional (PN) adalah dua perkara yang berbeza.

“Kedudukan Ketua Pembangkang diputuskan melalui perbincangan antara komponen parti bukannya hak atau tanggungjawab AMANAH sahaja.

“Mesyuarat Jawatankuasa Nasional AMANAH baru-baru ini hanya memutuskan AMANAH menghargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid juga menegaskan bahawa AMANAH telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan komponen PH berhubung langkah seterusnya yang akan dibuat selepas peristiwa tersebut.

Terdahulu, portal The Malaysian Insight mendakwa AMANAH memberi tempoh sehingga tujuh hari kepada Anwar yang juga Presiden PKR untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Hal tersebut katanya, diberitahu oleh sumber dalaman parti yang berkata, AMANAH menuntut apa yang dijanjikan Anwar selepas PH gagal melakukan undi belah bahagian untuk menolak Belanjawan 2021.

Memetik sumber tersebut, hal itu juga telah diputuskan dalam mesyuarat tertinggi parti pada 29 November lalu.

“Adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan AMANAH memberikan kata dua kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

“Memberi kata dua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya AMANAH,” tegas Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.