Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Melaka, Adly Zahari akan bertanding di kerusi parlimen Alor Gajah, Melaka kerusi yang sepatutnya ditandingi oleh DAP dalam pilihan raya umum ke 15 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan perkara ini dalam sidang media khas bersama Presiden Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Wira Dr Mohamad Hatta Ramli dan Pengarah Komunikasi Khalid Samad.
Adly adalah antara 54 calon Parlimen AMANAH yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan dalam PRU 15 ini.
Malaysia Dateline difahamkan, kerusi Alor Gajah adalah kerusi pertukaran yang dibuat oleh AMANAH dengan DAP yang mendapat kerusi Parlimen Jerai di Kedah.
54 kerusi Parlimen ini adalah pertambahan 34 peratus jumlah kerusi yang ditandingi AMANAH berbanding PRU 14 lalu iaitu 27 kerusi Parlimen sahaja.
AMANAH mencalonkan tujuh pemimpin wanita untuk kerusi Parlimen kali ini iaitu 13 peratus dari jumlah kerusi yang akan ditandinginya.
Dua calon wanita AMANAH akan bertanding di Kelantan, Kedah (1) Negeri Sembilan (1), Perak (1), Sarawak (1) dan Selangor (1).
Dalam sidang media ini juga Salahuddin mengumumkan AMANAH akan bertanding Parlimen Langkawi, kerusi yang dijangka akan ditandingi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
AMANAH menamakan Zabidi Yahya mewakili Pakatan Harapan dalam PRU ini.