Malaysia Dateline

AMANAH negeri dan PH komited perjuangkan tanah adat Bumiputera Sarawak

AMANAH Negeri Sarawak tetap cekal bersama kompenan Pakatan Harapan (PH) negeri itu dalam memperjuangkan Hak Tanah Adat (NCR) Bumiputera di wilayah ini.

Timbalan Pengerusinya Hud Andi Zulkarnaen berkata, AMANAH Sarawak menyokong usaha dan cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri dalam mencari penyelasaian isu tanah NCR yang masih membelenggu rakyat selama ini.

“Kali ini kita bersama PH Sarawak berusaha dengan formula yang dibentangkan rakan-rakan dalam PKR dengan nama ‘Agrarian Reform’ bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kami amat yakin dengan kaedah pembaharuan ini sekali gus menyelesaikan pertindihan dan perebutan tanah NCR di kalangan rakyat di Sarawak,” jelas beliau ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Tegas Hud Andri, perjuangan AMANAH bersama-sama gabungan PH Sarawak adalah untuk menangani isu NCR dan ia bukanlah retorik semata-mata.

“Kami amat serius dalam memperjuangkan isu ini dengan satu langkah perancangan bersepadu berserta dengan tindakan plan solusinya sekali.

“Ini kerana, tanah merupakan keperluan asas selain keperluan bahan makanan serta dijadikan tempat membina rumah  atau kawasan menghasilkan sumber pendapatan,” ujarnya lagi.

Katanya, idea ‘Reform Agrarian’ adalah tercetus daripada Setiausaha PKR Sarawak iaitu Teacher Joshua Jembeng.

“Untuk makluman, isu yang membabitkan tanah NCR di Sarawak seluas 1.5 juta hektar masih lagi tertangguh di mahkamah ialah hampir 500 kes.

“Tanah NCR di Sarawak bukan seperti tanah setinggan di Semenanjung Malaysia yang hanya diduduki sebagai penempatan sahaja.

“Tetapi ia berbeza di Sarawak kerana NCR adalah tanah yang didiami turun-temurun bergenerasi lamanya malah ia juga dijadikan tempat mencari rezeki dan penempatan perkuburan peribumi di negeri ini,” tambahnya.