‘AMANAH nombor satu, tetapi keluarga bukan nombor dua’

‘AMANAH nombor satu, tetapi keluarga bukan nombor dua’

Walaupun sudah dilantik menjadi Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) yang baharu, Senator Aiman Athirah Al Jundi tetap teguh dengan pendiriannya iaitu parti AMANAH berada ‘nombor satu’ di hatinya tetapi keluarga tidak jatuh ke ‘nombor dua’.

Beliau yang dipilih pada hari ini untuk menerajui barisan kepimpinan AWAN Nasional bagi sesi 2019-2022 mengakui tiga tahun adalah tempoh yang singkat lantaran dihambat masa.

“Jadi, kami perlu berlumba dengan masa dan keadaan bagi mencapai matlamat yang direncanakan dalam AWAN. Kalau empat bulan pertama ini, jawatankuasa diberikan tugasan, maka mereka perlu menunjukkan hasilnya.

“Saya harap saya tidak laju sangat dalam mengemudi barisan kepimpinan AWAN Nasional ini. Mereka (jawatankuasa) tahu bagaimana konsep saya bekerja dan berharap mereka juga boleh membuat penyesuaian bersama.

“Kalau jawatankuasa ini betul-betul mahu memacu ke hadapan, maka saya yakin mereka ini akan bersedia ke arah itu,” katanya.

Aiman Athirah mengulas demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen AWAN Nasional kali keempat yang di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara itu turut memuji barisan ahli jawatankuasanya yang dilantik atas persetujuan majoriti.

“Saya lihat kebanyakan jawatankuasa mempunyai kekuatan mereka yang tersendiri. Saya yakin barisan jawatankuasa saya mampu menghasilkan sesuatu yang positif.

“Saya mengambil contoh seperti barisan menteri Kabinet. Kalau kita pilih menteri yang bagus, prestasi kementerian juga akan melonjak.

“Kalau tersilap pilih menteri, prestasi kementerian akan jadi sebaliknya. Sama juga macam AWAN,” ujar Aiman sambil menambah jika tiada sidang Dewan Negara, beliau akan berada di pejabat bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap AMANAH.

Sementara itu, bekas Ketua AWAN Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud yakin bahawa kepimpinan baharu AWAN yang diketuai Aiman Athirah akan membuat sesuatu yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya dan Aiman Athirah telah bersama-sama sejak 1997, 1998 macam itu. Jadi, saya tahu bagaimana konsep beliau bekerja. Aiman sangat bagus dalam merangka strategi dan seorang yang komited terhadap tugasnya.

“Saya yakin mereka akan lakukan yang lebih baik dalam AWAN, insyaAllah. Saya cukup mengenali YB Senator (Aiman Athirah),” ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor itu lagi.

Dalam konvensyen yang bertemakan Kepimpinan Wanita Untuk Semua itu, Aiman dilantik sebagai Ketua AWAN yang baharu menggantikan Dr Siti Mariah.

Aiman Athirah memperoleh 209 undi daripada 294 pengundi yang hadir dalam pemilihan Jawatankuasa AWAN Nasional yang diadakan hari ini.

Ketua AWAN Negeri Johor, Norhayati Bachok yang mendapat undian sama dengan Athirah pula dipilih sebagai Timbalan Ketua AWAN Nasional.