Malaysia Dateline

AMANAH optimis PH menang di Dun Rantau

 

Datuk Zulkefly Mohd Omar

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, Datuk  Zulkefly Mohamad Omar, optimis Pakatan Harapan (PH) akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

Zulkefly berkata, ini susulan kemenangan bergaya calon PH Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti lebih besar, iaitu sebanyak 23,560 pada 13 Oktober lalu.

“Peluang untuk menang di sana (Rantau) itu ada, tapi kita belum dapat jangkakan lagi berapa jumlah majoriti yang boleh diperoleh pada PRK itu.

“Mengenai calon pula, kita belum membincangkannya secara mendalam. Kemungkinan besar calon akan dipilih berdasarkan kesesuaian tempat mereka bertanding,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas mengenai PRK Dun Rantau.

Menurut Zulkefly, di Dun Rantau terdapat seramai 53 peratus pengundi Melayu, 27 peratus India, manakala 18 peratus adalah Cina.

PRK Rantau diadakan susulan pada PRU14, calon BN  Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang kerusi Dun Rantau tanpa bertanding selepas Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan.

Dr Streram kemudiannya memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad itu.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi Dun Rantau terbatal dan tidak sah. Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan pula menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban itu sekali gus membuka laluan untuk PRK diadakan di Dun Rantau.