Malaysia Dateline

AMANAH P.Pinang optimis rampas kembali kerusi DUN, Parlimen PRU15

AMANAH Negeri Pulau Pinang optimis dapat rampas lebih banyak kerusi Dun dan Parlimen di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum (PRU) ke 15 yang akan datang.

Keyakinan tersebut dizahirkan oleh Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad ketika ditemui semasa program Rapat Kerja Organisasi 2021 peringkat negeri yang diadakan di Juru semalam.

Jelas beliau, AMANAH yakin dapat mempertahankan kerusi Dun Bayan Lepas dan Permatang Pasir yang telah dimenangi dalam PRU yang lalu disamping menambah kemenangan di tiga lagi Dun yang lain iaitu Sungai Dua, Penaga dan Permatang Berangan serta kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelogor.

“Keyakinan ini semakin bertambah ekoran perancangan rapi, kekuatan jentera dan politik khidmat yang ditumpukan terhadap kawasan-kawasan berkenaan.

” Selain itu senario politik semasa dan kerapuhan gabungan dalam PN menjadikan peluang lebih besar bagi AMANAH untuk menawan kembali kerusi yang pernah ditandingi serta kerusi-kerusi baru tersebut amat cerah sekali.

” Rakyat kini dapat menilai dan menolak politik retorik Pas yang selama menjadi pembangkang cuma pandai membakar semangat sentimen orang Melayu, sebaliknya apakala diberi amanah kuasa, mereka hilang prinsip serta cakap tidak serupa bikin,” tegas beliau.

Malah ujar Dr Roslan lagi, rakyat juga semakin muak dan bosan dengan politik membeli serta menyogok legislatif yang diamalkan oleh pimpinan Bersatu dengan tujuan untuk mencukupkan bilangan bagi mengekalkan kuasa.

Ini kata beliau termasuk keengganan Perdana Menteri untuk membenarkan Parlimen bersidang atas alasan darurat dan Covid-19 yang tidak masuk akal serta ditolak oleh rakyat.