AMANAH Padang Serai santuni anggota masyarakat setempat

AMANAH Padang Serai santuni anggota masyarakat setempat

Sebagai sebuah parti yang menghormati pelbagai etnik dan masyarakat majmuk dalam negara ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Padang Serai meneruskan kesinambungan perjuangan dengan menyantuni pelbagai golongan masyarakat dalam kawasan Parlimen Padang Serai.

Abdul Razak Salleh

Ia bukan sahaja sebagai salah satu usaha untuk mendekati masyarakat, sebaliknya ia bertujuan membantu menyelesaikan pelbagai keluhan dan rintihan mereka yang sering tidak didengar oleh pemerintah khususnya kerajaan negeri Kedah.

Sejajar dengan itu, AMANAH Padang Serai yang diterajui oleh pengerusinya, Abdul Razak Salleh, telah turun padang bersama-sama kepimpinan Padang Serai bagi menemui pelbagai golongan masyarakat khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Merbau Pulas.

Lawatan ke pasar pagi mendapat maklum balas daripada peniaga mengenai masalah yang mereka hadapi tapi belum diatasi oleh pihak berwajib.

Antara mereka yang disantuni adalah peniaga pasar pagi serta mereka yang kurang berkemampuan termasuklah penduduk yang uzur serta tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri.

“Tinjauan yang dibuat dengan kerap serta telah menjadi rutin ini telah mendekatkan AMANAH Padang Serai dengan masyarakat yang begitu mengharapkan rintihan mereka didengari.

Turun pada menemui anggota masyarakat berbangsa Cina di Sungai Karangan, Padang Serai dan mendengar keluhan mereka.

“Ramai yang ditemui menzahirkan rasa kesal mereka setelah pelbagai masalah infrastruktur seperti kerosakan jalan, lampu jalan tidak berfungsi, masalah perparitan dan sebagainya tidak diatasi sehingga kini.

“Selain itu mereka juga berasa kesal apabila kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan harga barangan bertambah tinggi dan amat menyulitkan mereka yang berpendapatan rendah,” jelasnya.

Beliau juga berkata, di samping itu ramai penduduk kampung amat terkilan apabila harga minyak petrol tidak stabil dan sentiasa naik sedangkan mereka setiap hari memerlukan minyak tersebut untuk motosikal sama ada ke bendang mahu pun untuk ke kebun.

“AMANAH Padang Serai turut memberi tumpuan kepada golongan warga emas yang tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri serta mereka yang hidup melarat dan miskin.

“Di samping itu, rintihan penduduk mengenai kegagalan kerajaan negeri untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak khususnya bagi golongan muda sering didengari dan hal ini amat dikesalkan.

“Manakala ziarah kasih yang dibuat terhadap golongan akar umbi dan bawahan amat mengalu-alukan hubungan kerjasama yang dijalin oleh AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) bersama-sama dengan kaum bukan Melayu,” ujarnya lagi.

Malah katanya, majoriti penduduk dalam kawasan Dun Merbau Pulas yang ditemui amat mengharapkan agar AMANAH mampu untuk mendapat mandat bagi mewakili mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

“AMANAH Padang Serai setakat ini bersama-sama dengan PH telah pun menggerakkan jentera termasuklah melalui sayap parti yang ada bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul khususnya dalam kawasan Parlimen Padang Serai.

“Majoriti pengundi Dun Merbau Pulas amat mengharapkan agar perubahan dapat dibawa bagi kawasan yang dimenangi Pas dengan majoriti hanya 633 undi tersebut.

“Kehadiran AMANAH dan PH bukan saja menjadi harapan menggunung mereka, sebaliknya kerjasama intim antara Pas dan Umno terbukti amat dikesali oleh sebahagian besar akar umbi yang ditemui,” tegasnya.

Dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, kerusi Parlimen Padang Serai dimenangi oleh PKR.

Manakala bagi dua lagi kerusi Dun iaitu Merbau Pulas dimenangi oleh Pas semasa berada dalam Pakatan Rakyat dengan majoriti tipis hanya 633 undi.

Sementara itu kerusi Lunas pula dimenangi oleh PKR dengan majoriti yang lebih besar iaitu 9084 undi dalam pertandingan empat penjuru.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS