Amanah paling sesuai di PRK serentak, kata Faiz Fadzil

Amanah paling sesuai di PRK serentak, kata Faiz Fadzil

Komposisi pengundi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dilihat lebih sesuai untuk Amanah meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak, 18 Jun ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, Pakatan Harapan perlu memberi laluan kepada parti berkenaan bagi mendepani Pas di kerusi campuran pengundi dengan majoriti Melayu Islam itu.

“Kita berharap pimpinan tertinggi dapat mempertahankan kedua-dua kerusi itu untuk ditandingi Amanah. Beri peluang kepada Amanah sebagai parti politik yang bergerak dalam perjuangan massa,” ujarnya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pemuda Amanah Nasional di Wisma Amanah lewat petang semalam.

Menurut beliau, pertembungan antara parti komponen Pakatan Harapan perlu dielakkan atas prinsip setiakawan berbeza dengan Pas yang berada di luar gabungan parti pembangkang itu.

“Pertindihan calon bertanding sesama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak lepas tidak harus berulang pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini.

“Namun, keputusan Pas untuk meletakkan calonnya tidak dapat dielak memandangkan parti itu bukannya komponen Pakatan Harapan tetapi kita menghormati semangat demokrasi untuk Pas masuk juga bertanding, ” jelasnya.

Sehubungan itu, Faiz berharap seluruh pimpinan Pakatan Harapan dapat membuat keputusan tepat dan jujur bermuafakat kerana PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan penanda aras pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Rakyat sedang menilai. Pakatan Harapan perlu ada strategi dan bersatu hati untuk menewaskan BN pada ketika kita pada masa sama meraikan demokrasi pilihan raya,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat mahu meletakkan calon mereka di Parlimen Sungai Besar sekaligus dilihat mengetepikan Amanah.

Untuk rekod, Parlimen Sungai Besar mempunyai 66 peratus pengundi Melayu manakala Cina 31 peratus dan India dua peratus pengundi.

Pada PRU-13 lalu, P.093 Sungai Besar mempunyai 42,837 pengundi, manakala P.067 Kuala Kangsar 33,540 pengundi.

COMMENTS

Wordpress (0)