Malaysia Dateline

AMANAH Parit Buntar yakin majoriti meningkat pada PRU14

Senario politik tanah air dan perkembangan ekonomi negara yang membebankan rakyat menatijahkan sokongan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) Parit Buntar semakin bertambah menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.

Hairul Nizam Ishak

Ia juga bersandarkan kepada gerak kerja turun padang berterusan yang dilakukan oleh AMANAH bersama-sama dengan anggota Pakatan Harapan (PH) yang lain sejak AMANAH ditubuhkan lagi.

Sehubungan itu, majoriti yang pernah diperolehi sebanyak 8,476 undi oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam PRU lalu diyakini mampu ditingkatkan dalam PRU14 nanti.

Demikian dinyatakan oleh Penolong Setiausaha AMANAH Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak.

Menurut beliau lagi, banyak isu yang telah dibawa oleh Ahli Parlimen Parit Buntar bagi membela nasib rakyat khususnya golongan petani yang senantiasa menghadapi pelbagai masalah.

“Isu yang seringkali dibangkitkan oleh Datuk Dr Mujahid adalah mengenai subsidi benih dan baja padi yang sering menjadi masalah kepada golongan petani.

“Dalam konteks ini beliau telah mengadakan beberapa pertemuan dengan para petani berkaitan isu terbabit termasuklah menemui ketua sektor yang mewakili sejumlah petani.

“Perkara ini turut dibawa ke sidang Parlimen serta dim,aklumkan kepada media massa,” ujarnya.

Beliau juga berkata, isu banjir kilat kawasan bandar yang sering membabitkan ratusan kediaman dan premis perniagaan turut diberi tumpuan.

“Selain melibatkan kawasan taman perumahan seperti Taman Kerian, Taman Kerian Tambahan, Taman Damai ia juga kerap melanda pusat bandar Parit Buntar.

“Datuk Dr Mujahid telah mengambil inisiatif segera dengan meninjau dan menemui pihak berkuasa tempatan khususnya Pejabat Daerah Kerian mengenai punca dan cara penyelesaian banjir kilat berkenaan.

“Beliau turut beberapa kali turun padang dan mendesak kerajaan negeri Perak agar mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan bandar,” jelasnya lagi.

Program berterusan mendampingi rakyat membuatkan AMANAH Parit Buntar semakin mendapat sokongan.

Isu pencerobohan dan penebangan hutan bakau dan api-api di Kuala Bagan Tiang sehingga mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan para nelayan turut diperjuangkan.

Hairul Nizam yang juga merupakan Setiausaha PH bagi Parlimen Parit Buntar juga berkata, isu pencerobohan ini telah memberi impak yang amat besar kerana ia melibat sumber pendapatan para nelayan.

“Sebenarnya isu pembinaan kolam udang dengan menggunakan tanah pesisir pantai telah mengakibatkan pokok hutan paya bakau dan api-api ditebang dengan berleluasa.

Warga tua dan mereka yang memerlukan bantuan tidak pernah diabaikan oleh AMANAH Parit Buntar.

“Datuk Dr Mujahid telah acapkali bersama-sama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil tindakan dengan menanam semula pokok bakau bagi menyelamatkan pantai daripada terus terhakis dan juga untuk dijadikan tempat pembiakan anak ikan.

“Kesemua ini telah diperjuangkan oleh beliau melalui pelbagai kaedah bagi memastikan nasib golongan terlibat mendapat pembelaan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, isu hospital baru Parit Buntar di Simpang Lima masih lagi menjadi dilema kepada lebih 52 ribu pengundi yang amat mengharapkan janji kerajaan BN tersebut dapat dikotakan.

Namun begitu katanya, sehingga berakhirnya tempoh pentadbiran Umno-BN menjelang PRU akan datang, isu ini masih lagi belum dapat diselesaikan.

Datuk Dr Mujahid bersama Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain.

Katanya lagi, hospital yang dijanjikan oleh kerajaan BN tidak menjadi kenyataan sedangkan pengundi telah memberikan mandat kepada mereka setelah janji manis tersebut ditaburkan sebelum ini.

Dalam PRU ke-13 yang lalu, Datuk Dr Mujahid yang ketika itu bertanding atas tiket Pas yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya memperolehi 26,015 undi mengalahkan calon BN yang mendapat 17,539 undi.

Menurut Hairul Nizam lagi, majoriti yang diperolehi dalam PRU yang lalu adalah atas kesepakatan yang diperolehi bersama gabungan yang ada dalam PR.

Walau bagaimanapun katanya, senario politik kini telah berubah setelah Pas tidak lagi bersama dengan gabungan PH, sebaliknya lebih mesra dengan mendokong Umno-BN.

“Kini AMANAH telah bertapak di Parit Buntar dan mampu untuk meraih kembali sokongan pengundi dengan majoriti yang lebih besar jika dibandingkan sebanyak 8,476 dalam PRU yang lalu.

“Kerusi Dun Titi Serong yang dimenangi Pas dengan majoriti 1,794 undi bukan suatu igauan bagi AMANAH dan PH untuk dirampas kembali menjelang PRU yang akan datang tidak lama lagi.

“Apalagi kerusi Dun Kuala Kurau yang telah dimenangi oleh PKR dalam PRU lalu dengan majoriti 5,014 undi mampu memberi sokongan kepada AMANAH dan PH untuk terus mengekalkan kemenangan bukan saja di Parlimen Parit Buntar, tetapi juga kerusi Dun Kuala Kurau,” katanya.

Beliau juga berkata, kerjasama erat antara AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP kini mampu memberi keyakinan yang lebih besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar dan Dun Kuala Kurau.

Tegasnya lagi, kerusi Dun Titi Serong yang sebelum ini dimenangi Pas, tidak akan menjadi milik Pas lagi, sebaliknya kemenangan berganda kepada PH setelah pengundi yakin gerak kerja yang dilakukan PH melalui program peduli rakyat secara berterusan hingga kini.