Malaysia Dateline

AMANAH parti masa depan dan cabarannya

Serius saya mendengar ucapan penggulungan oleh Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Anuar Tahir di Konvensyen Nasional ke-3 parti itu, yang menaburkan harapan begitu indah terhadap masa depan partinya. Anuar mengukir masa depan Amanah yang bergitu “bersinar-banar”.

Dapatan yang dibuat berhubung potensi parti itu sungguh besar sekali sehingga terasa macam Amanah boleh memeluk cakerawala bulan dan mentari.

Tuturnya penuh keyakinan, tahun hadapan parti itu akan mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Unjuran ini dibuat berpandukan kepada permohonan untuk menubuh cawangan parti itu diterima setiap hari. Ladang yang dikatakan subur untuk Amanah ialah di Kelantan, bilamana bilangan keahliannya bertambah, 10,000 perbulan?

Gambaran diberikan Anuar itu seolah-olah parti itu berkembang pesat dengan laju tanpa sedikit pun ada halangan (handicap). Beliau melakar keyakinannya, ia akan suskes dengan hanya kalau ada kesungguhan di kalangan ahli menggerak parti berkenaan. Semestinya sebagai seorang setiausaha agung menjadi arkitek utama beliau harus berwawasan begitu, setidak-tidaknya ke hadapan setapak daripada orang lain.

Mohd Anuar, Dr Hasan dan Husam

Paling menseriaukan apabila beliau mendendangkan AMANAH akan jadi parti terbesar di negara ini? (Mungkin dalam konteks Islam). Mendengarnya sungguh indah, tetapi agak sukar menyakinkan jika tidak disertai dengan fakta dan hujah konkrit. Sayang beliau tidak banyak mengemukakan dalil dan hujah membenarkan apa dibayangkan itu di hari akhir konvensyen berlangsung di Ipoh dari 14 hingga 15 Disember itu.

Tidak ada dalil-dalil dan bukti sokongan lain yang dibaca untuk menunjukkan parti itu memiliki potensi besar, melainkan berpandukan kepada permohonan yang bertambah. Mungkin peringkat awal boleh diterima tetapi bukan untuk seterusnya.

Dalam bersemangat itu, seperkara Anuar harus ingat penambahan cawangan dan ahli tidak menjadi kemestian Amanah akan menang besar dalam pilihan raya. Banyaknya cawangan bukan menjadi indikator pasti untuk menang. Sejarah dilalui oleh parti lain boleh dijadikan sempadan dalam melihat potensi harapan itu. Ada parti yang mempunyai keahlian yang ramai, cawangan yang banyak, tetapi tewas dalam pilihan raya.

Lihat kepada Umno. Parti itu mempunyai cawangan ribuan dan keahlian mencecah jutaan, bahkan pernah dinobatkan sebagai parti Islam terbesar di dunia. Umno berbangga dengan keahliannya yang banyak. Tetapi bila pilihan raya mereka gagal. Di banding dengan Pas tidak mempunyai banyak cawangan tetapi menang, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kontradik ini memberi tahu bahawa komitmen ahli sangat penting dalam hal ini.

Justeru disamping perbanyakan cawangan dan keahlian, komitmen dan penglibatan ahli seluruhnya perlu digerak dan dimantapkan. Jangan hanya berharap kepada jumlah cawangan sahaja. Cawangan Amanah mungkin akan tumbuh bagaikan jamun selepas hujan, kerana Amanah kini bukan lagi parti pembangkang jadi permintaan untuk mewujudkan cawangan banyak. Mereka yang berusaha menubuhkan cawangan mungkin bertitik tolak daripada membina landasan untuk mendapat habuan.

Nah, kalau begitu, Amanah akan terpedaya dengan jumlah cawangan banyak. Apa yang penting ialah komitmen ahli dan penyokongnya. Amanah hendaklah memiliki ahli dan penyokong berkualiti, berilmu, bersemangat dan berprinsip daripada memiliki cawangan yang ditubuh atas matlamat “perniagaan”.

Di bawah ini saya ada beberapa pandangan dalam membantu Amanah mencapai impian yang digagaskan oleh Anuar Tahir itu. Ia sebagai tambahan kepada beberapa cadangan yang dilontarkan oleh para perwakilan yang berbahas dalam konvensyen tempoh hari.

(dari kiri) Timbalan Presiden Datuk Salahuddin Ayub, Presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir.

Parti berbeza dengan parti lain

AMANAH kena membuktikan yang ianya adalah parti yang berbeza dengan parti lain, baik dari segi pendekatan dan juga memberi manfaat kepada ahli. Setuju dengan cadangan Naib Presiden Dr Hasan Baharum semasa menggulung perbahasan yang mahu Amanah menjadi parti membawa rahmat dan kesejahteraan kepada umum. Misi dan visi inilah yang bakal meletakkan Amanah sebagai parti baharu, berbeza dengan parti lain.

Namun ia tidak cukup dengan slogan itu sahaja sebalik ia harus diimplimenkan. Seperti mana kata Dr Hasan apa yang perlu ialah melaksanakan apa yang disebut itu.

Ertinya di sini AMANAH harus memimpin dengan akhlak, bertindak dengan akhlak serta membingkaikan semua kegiatan perjuangan berdasarkan prinsip dan konsep parti, Rahmantanlilalamin. Baik ketika berhadapan dengan ahli, masyarakat umum atau pun musuh. Serlahkan budi pekerti dan kehemahan dalam Amanah. Bila sebut musuh ialah golongan dalam Pas. Amanah tidak seharusnya mengikut rentak Pas dalam berpolitik terutamanya ketika berlaku perang mulut – perang siber.

Serangan kepada Pas dalam bentuk jenaka, sinis, menggunakan metafora sebagainya tidak menguntungkan AMANAH. Ia hendaklah dihentikan. Serangan begitu hanya meletakkan minda politik AMANAH sama taraf dengan politik Pas. Gelagat begitu juga akan memperlihatkan dendam di kalangan AMANAH kepada Pas yang kemudian menampakkan AMANAH parti mendendami orang lain. Kecaman dan marah Pas harus dilayan dengan seadanya tanpa bertindak balas sehingga menampak diri kita pula lebih.

Molek sangat kalau semua pemimpin AMANAH dan ahlinya serta penyokongnya menamatkan cara menyerang Pas sebaik selesainya konvensyen tempoh hari.

Perhatian kepada pengundi

Perkara kedua ialah, memberi perhatian kepada pengundi muda yang akan bertambah dan melimpah sekiranya peraturan menghadkan usia pengundi dianjakkan kepada 18 tahun pada pilihan raya akan datang. Dianggarkan jumlah pengundi muda akan melebihi 65% pada Priaum akan datang. Ini cabaran dan kehadiran pengundi muda (fresh), kewujudan mereka ini merupakan ladang subur buat AMANAH.

AMANAH jangan hanya mensasarkan untuk mengambil penyokong Pas sebagai ahlinya. Penyokong dan apa lagi ahli Pas bukan mudah untuk disihirkan agar menyokong Amanah. Mereka sudah menganuti teori politik yang meletakkan mereka akan hidup dan mati dengan Pas. Garisan hukum hakam agama yang mereka modified bagi kepentingan siasah mereka, menjadikan mereka sedia syahid bersama Pas.

Penyokong Pas yang sudah dikunci mindanya, tidak mungkin berubah sebelum pemikiran mereka digempur terutamanya Pas di Kelantan dan Terengganu. Jadi golongan berpotensi untuk dijinak sebagai ahli golongan bebas berpolitik seperti kalangan kakitangan kerajaan yang sudah pencen dan mencemuhi Umno.

Jangan sesekali menyangka apabila AMANAH menjadi sebahagian daripada kerajaan mereka mudah untuk mempengaruhi ahli Pas bersama mereka.
AMANAH harus bergerak dari sekarang untuk membimbing pengundi baharu memahami politik dan mengenali parti politik yang memberi harapan masa depan kepada mereka. Golongan muda dan bakal-bakal pengundi harus didekati dan memberi didikan siasah.

Dalam hal ini AMANAH perlu bertindak menjadi institusi kemasyarakatan yang lebih luas daripada menjadi badan politik yang dilihat hanya untuk mengejar kekuasaan.

AMANAH perlu menyembunyikan cita-cita untuk mendapat kuasa, tetapi menyerlahkan keikhlasan dan ketulusan dalam membangun ummah. Peranan Amanah ialah menjaminkan kesejahteraan rakyat, keamanan negara serta melengkapi mereka dengan ilmu duniawi dan ukhrawi. Hari ini dilihat kesejahteraan akhirat kurang dipertuturkan oleh Amanah, sehinggakan ia dilihat peranan keakhiratan itu berasingan dengan peranan duniawi.

Kerja-kerja kebajikan dari semua aspek, sosial politik, budaya, ekonomi dan pendidikan hendaklah diperlebarkan. AMANAH harus dilihat sebagai sebuah NGO yang bukan berada dekat dengan rakyat tetapi berada di hati rakyat. Bukan sahaja memberi material, tetapi memberi semangat (sipirit). Perbanyakkan ruang-raung atau medan aktiviti dengan rakyat, percampuran dengan rakyat khasnya golongan muda.

Apabila bercakap usaha memperluaskan peranan dan aktiviti ia tidak boleh dipisahkan dengan usaha mempergiatkan penerangan. AMANAH harus mempunyai jaringan maklumat yang luas. Peranan media sosial harus diperluas dan secara sistematik.

AMANAH perlu membentuk dan melatih kader-kader penerangan sendiri yang berilmu, baik bertindak sebagai persisik maklumat, membalas dan menjelaskan isu, dan menerangkan. Sebaiknya gerakan ini hendak sepadu, teratur dan bertatasusila seperti mana disarankan Dr Hasan. Dan kewujudannya juga tidak boleh secara bebas (volunteer) tetapi harus diformasi dan dimobilisasikan.

Kekalkan integriti

Paling penting juga, pemimpin Amanah perlu berintegriti berpaksikan kepada konsep AMANAH yangl fatanah. Kelainan juga harus ada kepada pemimpin, cerminkan saksiah pemimpin AMANAH yang berbeza dengan pemimpin lain. Terutamanya yang kini sudah menjadi menteri, timbalan menteri dan menjawat jawatan agensi kerajaan, yang jadi pegawai menteri dan lai-lain. Mereka harus menjaga akhlak dan memelihara integriti sebagai orang Amanah.

Jangan sampai ada terdengar mana-mana pegawai atau pemimpin AMANAH terbabit dengan rasuah. Sifirkan persepsi ini. Pegawai yang menuntut bayaran, menerima komisyen dari proposal yang disalurkan kepada menteri dan sebagainya tidak perlu diperdengarkan. Perbuatan dan kerja sambil menyelam minum air begitu jangan kedengaran sama sekali kerana ia menjejaskan potensi besar AMANAH itu.

Di samping itu pemimpin AMANAH bertaraf menteri khasnya harus menunjukkan kemampuan dan kewibawaan mereka sebagai menteri. Mereka harus lebih kreatif dalam menuangkan idea menerusi kementerian yang mereka wakili. Kejayaan mereka memaparkan idea dan melakukan pembaharu dalam kementerian akan dilihat keupayaan AMANAH dan memberi aset buat parti itu. Tidak cukup menteri berpakaian kemas segak tetapi idea “komang”.

Konsep Rahmatan-lilalamin juga perlu diperjelas dan diperincikan selumat-lumatnya. Hari ini rakyat hanya tahu menyebut perkataan RAHMATAN-LILALAMIN seperi mana menyebut Islam Hadari, atau Wasattiyah, tetapi masih kabur dan jahil dengan prinsip dan ciri-cirinya yang harus dihayati kemudian dilaksanakan.

Maka penerangan bersepadu secara konsisten perlu diadakan. Mungkin Amanah menerusi Jabatan Kemajuan Agama (Jakim) yang kebetulan berada di bawah bidang kuasa menteri AMANAH boleh memainkan peranan ini.

Jika segala itu dapat dilaksanakan dengan baik dan kemas, insyaAllah Amanah boleh atau benar-benar merealisasikan apa diucapkan Naib Presiden Husam Musa; AMANAH parti masa depan, Pas parti masa lampau. Sebaliknya kalau tidak disusun atur dengan baik AMANAH hanya menjadi parti retorik yang bernyanwa pendek sahaja. Kemenangan dan kejayaan dicapai dalam Piraum lalu bukan penamat kepada segala perjuangan. Cabaran sebenarnya Amanah ialah mendepani masa depannya.