‘AMANAH parti paling stabil sekarang ini’

‘AMANAH parti paling stabil sekarang ini’

Mohamad ketika ucapan penangguhan pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC, Shah Alam hari ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan bahawa parti berteraskan gagasan Rahmatan Lil Alamin tersebut sama sekali tidak goyah ketika sedang berada dalam tahun kedua pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Menteri Pertahanan itu, AMANAH paling utuh biarpun pernah menyaksikan pembatalan lebih 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti di seluruh negara membabitkan peringkat Kawasan, Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) dan sayap Pemuda.

“Alhamdulillah. Walau ada isu pemilihan di peringkat Kawasan, Pemuda dan sebagainya, AMANAH adalah parti paling stabil sekarang ini,” katanya serentak disambut tepukan perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) petang tadi.

Untuk rekod, AMANAH pada masa ini mempunyai 11 Ahli Parlimen, lima Menteri Persekutuan, Timbalan Menteri Persekutuan (5), Ketua Menteri (1), Senator (3) dan 51 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam ucapan penangguhan pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH itu juga, Mohamad memberi jaminan AMANAH sentiasa mencari penyelesaian terhadap sebarang konflik yang timbul.

“InsyaAllah, kita tidak akan mencetuskan konflik sebaliknya sentiasa mencari jalan menyelesaikan konflik supaya PH akan menjadi lebih kuat dan memerintah lagi pada penggal kedua pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mengingatkan tentang mudahnya untuk mencipta konflik sebaliknya amat sukar untuk menyelesaikan konflik.

“Kita dalam Pakatan Harapan mencari jalan bagaimana hendak menyelesaikan konflik,” katanya yang mengulas perbahasan perwakilan AWAN sebelum itu yang mahu AMANAH menguruskan konflik bukannya menimbulkan masalah.

Dalam masa sama, Mohamad mengingatkan sesiapa pun boleh menyertai AMANAH tetapi harus mendukung falsafah parti iaitu Islam Rahmatan Lil Alamin.

“Sama ada datang dari parti mana, Umno, Pas, Parti Sosialis dan NGO sekalipun kita semua terima.

“Jadi ahli AMANAH, ikut acuan AMANAH. Ini yang paling penting sebab kita jangan bawa kelompok-kelompok kita dalam AMANAH.

“Jadi (ahli) AMANAH, kita mendukung AMANAH. Apa yang diputuskan oleh AMANAH, itulah keputusan kita,” tegas Mohamad yang satu-satunya pemimpin bukan dari kalangan ulama terpilih menjadi timbalan presiden Pas dalam tempoh 25 tahun.

AMANAH satu-satunya parti dalam PH yang mempunyai sayap wanita muda secara rasmi.