Malaysia Dateline

AMANAH parti yang lahir dari sebuah perlawanan

Kalau nak menduga masa hadapan, perlu toleh ke belakang sedikit. Empat tahun lalu, politik negara menggelegak dengan banyak hal tak terjangka. Rentetan dari kekalahan pada PRU 2013, banyak hal menimpa Pakatan.

Tidak tentu arah dibuatnya untuk seketika. Cuma yang pasti, waktu itu sokongan rakyat kekal kukuh buat Pakatan. Yang menimpa Pakatan bukan kemelesatan sokongan, sebaliknya kelicikan lawan.

Dua tahun selepas itu, atau lebih tepat lagi – 2015; adalah tahun yang mengubah segalanya.
Februari, Anwar Ibrahim akhirnya dipenjara. Jangan lupa, latar kepada pemenjaraan mengejut Anwar adalah Langkah Kajang yang sepatutnya mengangkat Presiden PKR tersebut sebagai Menteri Besar Selangor. Langkah tersebut sumbang dan gagal – menyebabkan Anwar langsung dihumban ke penjara, persis gagal dalam permainan Monopoly.

Seperti jatuhnya susunan domino, pemenjaraan Anwar membawa kepada krisis kepimpinan bukan sahaja buat PKR sebaliknya juga seluruh Pakatan Rakyat. Mungkin ramai menjangka yang bakal ranap dek krisis ini adalah PKR – siapa sangka PKR hanyalah pusat kepada gempa. Tsunami tidak membadai PKR, sebaliknya Pas dan DAP. Musuh dalam selimut yang selama sebelum itu takut-takut untuk keluar mula menunjukkan belang.

Gelombang memomokkan DAP yang selama ini adalah naratif pihak lawan mulai menghinggapi Pakatan sendiri. Tentu sekali Pas waktu itu, sebagai parti dominan Melayu-Muslim menjadi medan dakyah. Entah dirasuk apa; Pas tidak mahu lagi mengamalkan keterbukaan.

Kafir mengkafir jadi latar perbalahan. Label-melabel, kata-kata kesat dan membinatangkan pemimpin tertentu jadi perkara biasa. Jun tahun yang sama – Pas memutuskan hubungan dengan DAP. Dalam masa yang sama, gugur setandan pemimpin progresif dari Pas. Ini sejarah penting. Sejarah yang amat penting.

Siapa sangka – saat semua merasakan inilah pengakhiran buat Pakatan, yang berlaku adalah sebaliknya. Buat yang beriman akan lebih yakin kalau ketentuan dan perancangan Tuhan adalah sebaik-baik perancangan. AMANAH lahir pada Ogos, dan rasmi pada September tahun yang sama.

Biar dihina dan diperli oleh musuh; AMANAH terus menjadi parti yang paling cepat berkembang. AMANAH mungkin kecil dari segi perwakilan, namun besar dari segi pengaruh dan ideologi yang mendasari politik pembangkang.

Nama asalnya Harapan Baru diabadikan sebagai nama pakatan politik baharu pembangkang – Pakatan Harapan. Dan ini tak perlu diterangkan lagi. Kurang tiga tahun selepas penubuhan – Pakatan Harapan akhirnya menang.

Seperti bait Dr Burhanuddin Helmy – di atas robohan Kota Melaka, kita bina jiwa merdeka. Kemelut yang menguji Pakatan sepanjang 2015 tidak sia-sia. AMANAH, sebagai parti yang melalui seberat-berat ujian tidak terkorban dengan sia-sia. AMANAH membuktikan apa yang mereka perjuangkan selama masih bergerak dalam Pas dahulu adalah betul dan wajar.
Memenangi Malaysia bukan dengan mengasingkan diri, angkuh dengan akidah dan iman yang hanya Tuhan layak adili – memenangin Malaysia adalah dengan memaparkan setinggi akhalk dan rasional dalam berpolitik.

Ini sejarah yang melatari AMANAH dan wajar dikenang sebagai sejarah yang melatari kejayaan Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu. Persoalannya; memandang ke hadapan, apa ada untuk AMANAH?

Hari ini, ribut politik yang lain sedang membadai kita lagi. Krisis kepercayaan pengundi terhadap AMANAH dan Pakatan Harapan adalah ujian baharu yang belum pernah dialami sebelum ini.

Maka untuk menghadapi ribut ini, toleh kembali ke belakang. Empat tahun lepas, dalam ribut politik yang tidak pernah tersaksikan juga, AMANAH mengorbankan segala-galanya untuk mengukuhkan prinsip politik progresif.

AMANAH meletakkan teladan yang tidak pernah disaksikan lain. Tindakan ini berhasil mengangkat AMANAHNdan Pakatan Harapan untuk menang. Maka untuk hari ini, meneladani sejarah dan kekuatan asal AMANAH adalah kuncinya.

Dalam suhu politik yang tidak menentu sekarang; ditambah naratif perpecahan kaum yang sedang giat ditiup oleh pihak lawan untuk menyesatkan masyarakat, tiba masa buat AMANAH mengemudi semula jalan perubahan seperti dahulu. Yakinlah, memang ini sentiasa adalah takdir buat AMANAH, parti yang lahir dari sebuah perlawanan.