Malaysia Dateline

AMANAH Pasir Mas tubuh 4 cawangan baru

AMANAH Kawasan Pasir Mas yang pernah mendapat anugerah kawasan paling ramai ahli parti di seluruh negara telah menambah empat lagi cawangan pada hari ini.

Penambahan empat cawangan baru di Serdang, Serdang Hilir, Kubang Sepat dan Kampung Kundur menjadikan sebanyak 60 cawangan AMANAH di Pasir Mas.

Setiap cawangan haruslah mempunyai minimum ahli seramai 22 orang.

Ketua AMANAH Pasir Mas Rushdan Mustaffa ketika dihubungi Malaysia Dateline menyifatkan penambahan cawangan ini satu perkembangan yang baik buat AMANAH di Kelantan.

Berdasarkan perkembangan ini, beliau tidak menolak AMANAH adalah parti yang paling tepat bagi menggantikan rejim Pas di Kelantan.

Rushdan tidak menjangka ramai yang menyertai AMANAH pada kali ini terutama daripada penyokong-penyokong dan ahli Pas.

“Kemasukkan ahli yang tidak dijangka dalam masa yang sama kita bergerak dalam tempoh PKP, PKPB dan kekangan kewangan,” katanya.

Ketika ditanya, apa alasan yang diberikan ahli dan penyokong Pas menyertai AMANAH, beliau berkata rata-rata mereka sedar Pas tidak seperti dahulu.

“Sikap pemimpin, tutur kata pemimpin dan janji semua dipertikai. Apa lagi tentang hala tuju Pas yang sudah jauh berubah. Pusing 360 darjah. Orang tua pun ramai yang sertai AMANAH,” ujar beliau.

Justeru, beliau yakin dan percaya rakyat Kelantan sudah nampak kegagalan kerajaan memerintah dengan berbagai-bagai masalah membelenggu mereka seperti masalah air, sampah dan peluang pekerjaan.

“Apatah lagi isu pembelian Mercedes disaat rakyat yang merlukan sekampit beras dan sepapan telur,” katanya.