AMANAH peduli rakyat tanpa kira kaum

AMANAH peduli rakyat tanpa kira kaum

Parti Amanah Negara (AMANAH) meneruskan agenda peduli rakyat tanpa membezakan mana-mana agama dan fahaman politik yang berbeza.

Sempena sambutan Deepavali, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, bersama-sama dengan AMANAH Parit Buntar telah memberikan sumbangan kepada 50 keluarga di Taman Sri Tenggara kelmarin.

Malah sumbangan yang diberikan adalah merangkumi semua peringkat dan golongan masyarakat.

Ahli Parlimennya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, AMANAH senantiasa memberi perhatian terhadap nasib masyarakat keturunan India di Parlimen Parit Buntar.

Mujahid menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sempena sambutan Deepavali.

Malah katanya, kepedulian yang diberikan kali ini bukan sahaja untuk majlis sambutan Deepavali, tetapi juga perayaan lain seperti Tahun Baru Cina mahupun Hari Raya Aidilfitri dan seumpamanya.

“Kita juga menziarahi beberapa buah keluarga yang tidak bernasib baik sempena sambutan Deepavali kali ini.

“Perhatian turut diberikan kepada ibu tunggal yang mempunyai anak ramai.

“Program ini merupakan aktiviti tahunan yang diteruskan saban tahun bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga terlibat,” jelasnya lagi.

Antara penerima sumbangan sempena Deepavali di Parlimen Parit Buntar.

Manakala Pengerusi Biro Integrasi Nasional, Amanah Parit Buntar, K.S.Paranthaman pula berkata, program sedemikian dapat merapatkan hubungan dan menimbulkan kemesraan.

Selain itu katanya, adalah amat diharapkan sumbangan yang diberikan dapat menceriakan sambutan pada tahun ini.

Turut hadir dalam program sumbangan tersebut ialah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad, Ahli Jawatankuasa Amanah Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak dan M Subramaniam yang merupakan wakil Amanah cawangan Taman Seri Tenggara.