AMANAH pegang janji sokong Anwar PM kelapan

AMANAH pegang janji sokong Anwar PM kelapan

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pendirian menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan sudah termaktub dalam perjanjian awal Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan berkata, keputusan asal membabitkan PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu itu juga sebulat suara menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Pendirian AMANAH dalam soal ini jelas dan tidak berubah. Perkara itu telah diputuskan sejak awal-awal lagi. Kita berpegang kepada perjanjian itu.

“Kita menerima Dr Mahathir ketika itu sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH ) secara konsensus yang juga Perdana Menteri manakala Perdana Menteri kelapan ialah Anwar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di Parit petang ini.

Menurutnya, pada masa itu juga Anwar telah diputuskan sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Mahathir.

Bagaimanapun, kata Salahuddin, tiada tempoh tarikh (peralihan) jawatan diputuskan pada mesyuarat bersama itu tetapi semua (wakil-wakil parti) bersetuju Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir.