AMANAH penerus sebenar gerakan Islam

Semua anak-anak bekas pemimpin besar Pas kini bersama AMANAH, kata Husam.

Dengan penyertaan Nik Omar Nik Abd Aziz, dalam pilihanraya kali ini atas tiket Pakatan Harapan dan menganggotai AMANAH semakin jelas Pas tidak boleh lagi mendabik dada sebagai penerus perjuangan Islam di negara ini.

Naib presiden AMANAH Husam Musa berkata tindakan ini melengkapkan penyertaan anak-anak kepada tokoh-tokoh utama yang menjadi pencetus kebangkitan Islam di negara ini.

“Dr Mujahid Yusof mewakili keluarga mursyidul am Pas yang pertama Pak Yusof Rawa, Faiz Fadzil anak kepada bekas presiden Pas Fadzil Noor yang begitu dihormati dan Nik Omar anak Tok Guru Nik Aziz hari ini bertanding mewakili parti AMANAH,” katanya pada sidang media khas PH negeri Kelantan di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu semalam.

Dengan perkembangn ini kata Husam, AMANAH kini menjadi pilihan rakyat Malaysia yang ingin berjuang untuk memartabatkan Islam.

“Ustaz Nik Omar ni digelar oleh pensyarahnya sebagai Umar Abd Aziz.

“Ini kerana kajiannya untuk mendapat ijazah sarjana adalah mengenai khalifah Islam Bani Umayyah yang begitu terkenal.

“Gurunya itu selalu berpesan, kamu telah menulis tentang Umar Abd Aziz maka hendaklah kamu hidup seperti dia,” katanya.

Sebagai seorang yang begitu rapat dengan bekas menteri besar Kelantan itu, Husam berkata Nik Omar adalah satu-satunya anak almarhum yang begitu menghampiri sifat ayahandanya dari segi luaran dan dalaman.

Nik Omar diterima sebagai calon PH menggunakan logo PKR untuk kerusi Cempaka, kerusi yang selama ini diwakili Tok Guru Nik Aziz.

Beliau diumumkan sebagai calon melawan calon Pas dan BN semasa penamaan calon semalam.

 

5.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 7.0