Malaysia Dateline

AMANAH Perak berhasrat jalin hubungan dengan Putra jika direstui

AMANAH Perak berhasrat untuk mengadakan perbincangan secara tidak rasmi atau rasmi dengan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) jika direstui oleh Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.

Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, hubungan tersebut demi melonjakkan sokongan pada PRU-15 nanti agar strategi bagi mengambil semula pentadbiran di Perak dan Putrajaya tercapai.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini susulan pengumuman Putra untuk meletakkan calon di lima kawasan Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Mengulas lanjut, Dr Muhaimin berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Putra tersebut seperti dimaklumkan Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman.

“AMANAH Perak mengalu-alukan hasrat Putra untuk memeriahkan lagi demokrasi khasnya di Perak dan bagi AMANAH Perak yang sudah biasa dengan Datuk Hamidah dahulu bukannya asing lagi.

“Hasrat Putra yang diumumkan tersebut penting bagi menghidupkan demokrasi serta ianya hak mana-mana pihak untuk bertanding berdasarkan semangat Perlembagaan negara kita,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Hamidah juga bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat dan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak di bawah Barisan Nasional (BN).