Amanah Perak lancar jentera, siap hadapi PRU14

Presiden Amanah, Mohamad Sabu melancarkan jentera pilihan raya Perak tanda mereka bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diramalkan seawal bulan Ramadhan ini.

Amanah Perak lancar jentera, siap hadapi PRU14

 

Presiden Amanah, Mohamad Sabu melancarkan jentera pilihan raya Perak tanda mereka bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diramalkan seawal Ramadhan ini.

Jentera dan pimpinan di semua peringkat termasuklah pemuda dan wanita telah berhimpun di Wisma Chin Woo Ahad lalu, bagi mendengar amanat daripada pimpinan sebagai persiapan parti di peringkat dalaman.

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah dijemput membentangkan kertas kerja berkaitan gerak kerja, strategi dan pendekatan yang sesuai dalam menarik sokongan masyarakat dalam pilihan raya kelak.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar turut dijemput bagi membentangkan kajian terkini yang dijalankan oleh pihak berkecuali itu.

Ilham Centre turut memberikan pandangan, cadangan dan kritikan yang membina terhadap gerak kerja Amanah selama ini bagi parti itu memperbaiki agar lebih cemerlang.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi dalam ucapannya sangat berpuas hati dengan kesungguhan jentera-jentera di semua peringkat khususnya di Dun-Dun sasaran.

Namun katanya, gerak kerja perlu diperingkatkan dengan lebih efisyen dan sistematik agar mendapat keputuan yang disasarkan.

“Biro Pilihan Raya Amanah Perak telah menyiapkan modul untuk diaplikasi dalam gerak kerja pilihan raya di Dun dan parlimen yang kita akan tandingi.

“Kita harap jentera dapat melaksanakan gerak kerja yang sistematik tetapi memberi impak yang cukup besar seterusnya memberi kejayaan kepada Amanah dalam pilihan raya kelak,”katanya.

Dalam pada itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam ucapan majlis perasmian penutup mengarahkan jentera di semua peringkat memberi fokus semaksima mungkin dalam gerak kerja pilihan raya.

Beliau yakin, sekiranya jentera berusaha bersungguh-sungguh, matlamat yang disasarkan akan tercapai seterusnya membawa Pakatan Harapan memimpin negara.