Malaysia Dateline

AMANAH Perak mohon peruntukan ADUN pembangkang dikembalikan

AMANAH Perak memohon peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikembalikan tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Pengerusi, Datuk Asmuni Awi, berkata peruntukan kira-kira RM150,000 setahun itu penting bagi membolehkan rakyat menerima perkhidmatan terbaik daripada ADUN masing-masing.

“Selama ini hanya diberikan kepada ADUN kerajaan, jadi kita meminta peruntukan itu diberikan juga kepada ADUN pembangkang.

“Melaluinya, kita dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di DUN masing-masing,” dipetik BH Online.

Mengulas pelantikan Menteri Besar baharu, Datuk Saarani Mohamad, beliau berkata AMANAH komited memberikan kerjasama kepada pemimpin Umno itu walaupun tidak dapat membentuk kerajaan seperti dirancang.

Asmuni yang juga ADUN Manjoi itu berkata, pihaknya bersedia bekerjasama untuk membantu bagi membolehkan wujudnya kerajaan stabil dan kuat.

Katanya, hal tersebut demi kebaikan rakyat terutama dalam suasana berhadapan Covid-19 dan pelbagai masalah ekoran daripadanya yang masih tidak nampak jalan penyelesaiannya.

“Awal pagi tadi saya sudah mengucapkan tahniah kepada Datuk Saarani di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

“Saya yakin, dalam sejarah baharu politik Malaysia ini terutama Perak, beliau akan dapat melakukan perubahan dan sesuatu terbaik untuk rakyat di negeri ini,” tambahnya lagi.

Pagi tadi, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan sejak 2004 mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

AMANAH pada masa ini mempunyai lima kerusi DUN manakala DAP (16) dan PKR tiga kerusi.

Paling banyak memiliki kerusi DUN ialah Umno dengan 25 daripada jumlah keseluruhan 59 kerusi manakala Bersatu (5), Pas (3), PKR (3), Gerakan (1) dan seorang wakil rakyat Bebas.