Malaysia Dateline

AMANAH Perak saran kerajaan negeri tangguh sementara PKPB

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menyarankan agar Kerajaan Negeri Perak menangguhkan sementara Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mengekalkan dahulu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana Fasa Pertama hingga Keempat sebelum ini.

Setiausaha AMANAH Perak, Salman Haji Salleh berkata, mengikut jejak Kerajaan Negeri Kedah, Selangor dan Sarawak, tindakan ini penting bagi memastikan tahap penyebaran wabak CoVid-19 telah benar-benar berjaya dihentikan sepenuhnya.

“Kajian yang menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu kerana keselamatan rakyat sepatutnya menjadi keutamaan.

“Memang diakui kita sudah sampai ke satu tahap yang membanggakan, namun keutamaan kita sebenarnya adalah penghapusan secara total agar penularan wabak ini tidak akan berulang kembali pada masa akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, AMANAH Perak mengharapkan Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Keselamatan Negeri Perak dapat menimbang semula keputusan bagi melaksanakan PKPB ini kerana ancaman yang akan datang tidak boleh dijangka sepenuhnya dan jalan paling selamat adalah mengikut polisi PKP.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula Isnin ini.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.