Malaysia Dateline

AMANAH Perak sedia bantu kempen ‘Bersatu Blackout’

AMANAH Perak mengumumkan sedia untuk membantu kempen ‘Bersatu Blackout’ oleh penyokong dan ahli Bersatu yang menyebelahi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, pihaknya mengalu-alukan jika kempen itu turut diadakan di Perak serta menurunkan Tun Mahathir bertemu penyokongnya.

Beliau berpendapat penganjuran kempen itu di Alor Setar, Kedah pada 18 Julai lalu adalah satu mesej jelas berkenaan keupayaan penyokong Tun Mahathir dalam membetulkan kembali Bersatu agar berada di landasan yang sebenar.

“AMANAH Perak bersedia membantu penyokong ‘Bersatu Blackout’ ini untuk sama-sama dengan matlamat yang satu agar dikembalikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu dan menolak pengkhianatan yang dilakukan atas nama Perikatan Nasional (PN) bersama Tun Mahathir,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Muhaimin yakin penganjuran perhimpunan ‘Bersatu Blackout’ di Perak akan menyaksikan sokongan bersama Tun Mahathir dalam usaha mengembalikan semula mandat rakyat tercapai.

Pergolakan dalaman Bersatu tercetus ekoran tindakan kumpulan menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminggirkan saranan Tun Mahathir untuk parti itu kekal bersama PH.

Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu dipertikaikan itu kemudiannya dipecat bersama beberapa ahli dan pemimpin lain.

Sejak 16 Jun lalu, penyokong Bersatu pro Tun Mahathir melancarkan kempen ‘blackout’ dengan menukar warna merah logo parti itu kepada warna hitam putih.

Protes itu dimulakan oleh sebuah akaun Facebook Bersatu.TV yang mempunyai lebih 17,000 pengikut dengan dikatakan mendapat persetujuan Tun Mahathir seperti dakwaan pentadbir akaun tersebut.

Ketua Pemuda Armada Bersatu yang dipertikaikan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara pemimpin Bersatu pro Tun Mahathir yang memuat naikkan logo ‘blackout’ itu di media sosial.

Turut berbuat demikian sebelum ini ialah Timbalan Presiden Bersatu dipertikai, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung parti dipertikaikan, Datuk Marzuki Yahya; dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Kempen tersebut juga disertakan tanda pagar (tagar) #bersatublackout #kekalberprinsip #selamatkanbersatu.

Perhimpunan Bersatu Blackout dengan tema “Tun.. Kenapa & Mengapa?” di Alor Setar, Kedah pada 18 Julai lalu dilihat mendapat sambutan hangat penyokong Tun Mahathir.

Perhimpunan Bersatu Blackout di Kedah, 18 Julai lalu mendapat sambutan hangat penyokong Tun Mahathir.