Malaysia Dateline

Amanah Perak sedia berhadapan siapapun calon Menteri Besar BN

khairol Naib Ketua Pemuda Khairol Najib Hashim (Gambar kiri)  berkata, Amanah berasa agak pelik apabila Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dakwanya secara ‘senyap’ membangkitkan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada sesi parlimen 2016 lalu.

“Tiba-tiba Datuk Seri Husni begitu lantang mempersoalkan isu 1MDB yang mengejutkan banyak pihak sehinggakan Umno Bahagian Tambun bertindak bertemu dengan Perdana Menteri pada April 2017 yang lalu.

“Sejurus perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak oleh Seri Paduka Sultan Perak, Umno Tambun telah bertemu dengan Datuk Seri Najib di Parlimen membincangkan kedudukan Datuk Seri Husni sebagai Ahli Parlimen Tambun seolah-olah cenderong kepada pembangkang.

“Pemuda Amanah Perak melihat watak Datuk Seri Husni berubah besar kemungkinan masih dikekalkan sebagai calon PRU14 nanti,” ujarnya.

Menurut Khairol lagi, Pemuda Amanah Perak akan bekerjasama dengan  Pakatan Harapan (PH) bagi menewaskan Husni sama ada sekiranya beliau menjadi calon  dan menumbangkan Barisan Nasional (BN)  adalah agenda bersama untuk rakyat.

Dalam perkembangan sama Setiausaha  Amanah Perak Salman Salleh (Gambar kiri) pula berpandangan mereka tidak berasa pelik jika Umno membuat ‘pusingan U’ dengan memberi laluan kepada bekas Menteri Kewangan II itu untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak menggantikan Zambry jika BN mendapat mandat baru kelak.

“Spekulasi bertiup kencang mendedahkan bahawa Datuk Seri Husni mendapat restu Datuk Seri Najib untuk bertanding di kerusi Dun kali ini.

“Persoalannya adakah beliau akan memilih Dun Hulu Kinta atau Manjoi yang berada dalam Parlimen Tambun pada PRU14 nanti?

“Adakah juga kerusi Parlimen Tambun akan diserahkan kepada Datuk  Seri Zambry?

“Tidak pelik kerana atas nama kerusi Parlimen Tambun sebelum ini telah disandang oleh ‘orang luar’ dan dalam masa yang sama Datuk Seri Husni telah pun lima penggal menjadi Ahli Parlimen di situ,” terangnya.

Justeru Salman berkata, Pakatan Harapan Negeri Perak akan bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja di kerusi calon Menteri Besar BN di negeri itu.

“Kami akan bekerja keras untuk memastikan kerusi calon Menteri Besar adalah kerusi daripada Pakatan Harapan tidak kira siapa sahaja calonnya pada PRU14 yang menjelang tiba,” ujarnya.

Spekulasi bertiup kencang dikalangan pimpinan dan ahli Umno akar umbi di negeri Perak kononnya Husni akan kembali dalam kabinet perdana menteri untuk ditawarkan jawatan Menteri Besar bagi mengantikan Zambry dalam PRU14 akan datang.

Semalam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Zahid Mat Arip turut mendedahkan dan mengesahkan desas-desus Husni akan mengantikan Zambry jika BN menang di negeri itu.

Zahid juga dipetik berkata, siapapun calon yang akan diletakkan oleh BN dalam pilihan raya nanti, apa yang penting ujarnya lagi, Pakatan Harapan akan memimpin Perak kelak.

Husni meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua pada 27 Jun 2016 lalu, sebelum Najib mengumumkan rombakan Kabinet.

Selepas itu, beliau juga meletakkan kesemua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Husni hanya memberikan alasan tidak mahu ditukarkan ke portfolio lain dan mahu bersara sebaliknya menimbulkan pelbagai persepsi rakyat dan pimpinan politik di negara ini berkemungkinan tindakan beliau adalah tanda protes terhadap kepimpinan Najib yang terkait dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).