Malaysia Dateline

AMANAH Perak serah pada komponen PH bertanding di kerusi Pas

AMANAH Negeri Perak mengumumkan kemungkinan besar tidak akan meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, parti itu tidak akan bertanding di tiga kerusi yang dimenangi Pas di Negeri tersebut jika dipersetujui dalam perbincangan akhir agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) untuk PRU-15 nanti.

“Kerusi-kerusi tersebut adalah DUN Kawasan Gunung Semanggol, Selama dan Kubu Gajah yang telah dimenangi Pas bagi menghormati kemenangan pada PRU-14 yang lalu.

“AMANAH akan serahkan kepada parti kompenan PH yang lain untuk bertanding pada PRU-15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sidang Parlimen 13 Julai hadapan akan menjadi penentu kepada pentadbiran PN yang mungkin boleh disenaraikan sebagai kerajaan terpendek dalam sejarah sekiranya terbukti mereka tidak memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Dijadualkan, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen ini.

Parti-parti politik juga sudah mula bersiap sedia untuk menggerakkan jentera pilihanraya masing-masing untuk kemungkinan Dewan Rakyat dibubarkan sekiranya Muhyiddin tidak mempunyai sokongan di dalam Dewan.

Bagaimanapun, PH dilaporkan tidak akan membubarkan Dun yang berada di bawah pentadbirannya sekiranya kerajaan Perikatan Nasional mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU-15.

Ketika ini, negeri yang ditabir PH adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah.

Kerajaan PH tumbang di Perak apabila PN mempunyai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru sekaligus menjadi negeri ketiga jatuh ke tangan kerajaan Persekutuan selepas Johor dan Melaka.

Sementara itu, Muhaimin yang juga ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional berkata, Pas juga diharap mengambil sikap yang sama untuk mengelak bertanding di kerusi yang dimenangi oleh AMANAH pada PRU-14.

Untuk rekod, AMANAH memenangi kerusi di enam buah kawasan merangkumi DUN Manjoi, Sungai Rapat, Titi Serong, Behrang, Kamunting dan Pasir Panjang.

Jelasnya, penghormatan tersebut penting kerana kedua-dua parti membawa mesej yang sama iaitu Islam rahmat untuk semua selain dapat menyumbang peranan masing-masing agar kehormatan Islam akan terus terpeliharan dan terus berkembang.