AMANAH Perak tegaskan tiada perjumpaan dengan Pas untuk tubuh kerajaan

AMANAH Perak tegaskan tiada perjumpaan dengan Pas untuk tubuh kerajaan

Di saat rundingan Pas dan Umno-BN bagi membentuk kerajaan negeri rancak diperkatakan, AMANAH Negeri Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu juga terlibat dalam rundingan dengan Pas.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam (foto) berkata, AMANAH negeri tetap teguh memegang prinsip kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan mengkhianati amanah rakyat.

“Parti Amanah Negara Negeri Perak dengan ini menafikan sekeras-sekerasnya dakwaan bahawa AMANAH Perak berunding atau bertemu dengan Pas tentang penubuhan kerajaan negeri Perak.

“AMANAH Perak tetap istiqamah dengan prinsip mengutamakan kepentingan rakyat daripada meraih laba politik jangka pendek. AMANAH Perak sekali-sekali tidak akan berkompromi dengan parti ‘kleptocracy’,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Pas Perak mengadakan pertemuan dengan BN negeri di Ipoh malam tadi.

Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Shaarani Mohamad ketika ditemui memberitahu BN tidak memberikan sebarang tekanan terhadap Pas bagi mewujudkan kerajaan campuran di Perak.

Beliau berkata, pihaknya tetap mengambil kira hak Pas termasuk mengadakan perbincangan dan mesyuarat melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Bagaimanapun Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataannya malam tadi memberitahu, BN negeri telah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

“Justeru saya akan memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah bagi menyembah maklum kedudukan terkini dan perkenan untuk membolehkan kerajaan negeri dibentuk,” ujarnya.

Dibacakan Pengarah Komunikasi dan Korporat Pejabat Menteri Besar, Nizamuddin Mat Isa, selanjutnya Zambry berkata, tidak ada parti memperoleh jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri Perak berdasarkan keputusan PRU-14.

“BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR 29 kerusi dan Pas tiga kerusi,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria memberitahu syarat dalam kerjasama pembentukan kerajaan negeri tersebut termasuk tidak menghalang perjuangan Pas dalam Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote