Malaysia Dateline

AMANAH Perlis kutuk sikap angkuh, biadap pemimpin BN

Tindakan pimpinan Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis terhadap pendirian yang diambil oleh DYMM Tuanku Raja Perlis disifatkan sebagai angkuh dan sombong.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim ketika dihubungi.

Jelas beliau lagi, sikap yang dipamirkan oleh pimpinan BN Perlis membuktikan mereka membelakangkan hasrat rakyat serta mempunyai agenda peribadi yang tersendiri.

“Keputusan yang telah diambil oleh DYMM Tuanku Raja Perlis perlu dihormati kerana ia adalah bagi menyegerakan pembentukan kerajaan negeri yang telah berlarutan begitu lama selepas pilihan raya umum 9 Mei yang lalu.

“Seharusnya agenda peribadi dikesampingkan dan memberi keutamaan kepada keperluan untuk mentadbir negeri dengan segera.

“AMANAH Perlis menyeru pimpinan BN supaya segera menyelesaikan kemelut pelantikan MB Perlis dan menerima keputusan yang dibuat oleh pihak Tuanku,” ujarnya lagi.

Tegas beliau lagi, tindakan yang diambil oleh pimpinan BN dengan menolak keputusan yang telah dibuat oleh DYMM Tuanku tidak sepatutnya berlaku kerana yang dilantik adalah dikalangan pimpinan BN sendiri.

“Sekiranya yang dilantik itu adalah pimpinan dari Pakatan Harapan, maka wajarlah bagi pimpinan BN Perlis membuat bantahan kerana mereka memenangi 10 daripada 15 kerusi yang ditandingi.

“Agak menghairankan kerana lantikan dari pimpinan BN sendiri pun sangup ditolak oleh Pengerusi BN Perlis semata-mata kerana tidak tunduk kepada kehendak mereka.

“Secara jelas ia memperlihatkan adanya agenda tertentu yang menjadi percaturan sehingga wujudnya sikap biadap tersebut dikalangan pimpinan BN Negeri Perlis, ” tegasnya.

Dalam pilihan raya umum yang lalu BN Perlis berjaya memenangi 10 kerusi Dun, manakala PKR 3 kerusi dan Pas 2 kerusi.

Semalam Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan rasa dukacita susulan tindakan sembilan Adun BN yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar Perlis.

Kesemua mereka tidak hadir kerana dikatakan tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan bagi penggalan keduanya sebagai menteri besar.