Amanah perlu diperkukuh dalam Pakatan Harapan, kata Anthony Loke

Amanah perlu diperkukuh dalam Pakatan Harapan, kata Anthony Loke

Gabungan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjayakan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas berkuburnya Pakatan Rakyat bagi meneruskan kesinambungan pakatan pembangkang.

Bercakap dalam forum ‘Amanah: Bawa rebah atau tuah?’ semalam, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berpandangan PH perlu memberi fokus kepada formula untuk memenangi pertembungan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang.

“Sekarang kita bukan bimbang kepada kerjasama pembangkang tetapi bimbang (rakyat) tak keluar mengundi,” katanya menurut laporan Roketkini.

Kebimbangan itu dilahirkan merujuk kepada pertembungan tiga penjuru yang dilihat sering berpihak kepada kemenangan BN.

“Usaha kita sekarang ialah bagaimana untuk yakinkan pengundi supaya keluar mengundi,” ujar Anthony.

Penubuhan Amanah katanya adalah keperluan dalam gabungan pakatan pembangkang setelah perpecahan PAS dari Pakatan Rakyat (PR).

“Adalah tidak adil melihat Amanah sebagai beban kepada pakatan pembangkang. Tak timbul soal tuah atau rebah. Saya melihat itu adalah tanggungjawab bersama.

“Kita perlu tahu pengasas dan pemimpin Amanah merupakan pimpinan PAS yang disingkirkan dari muktamar PAS tahun 2015 lalu dan mereka sendiri melihat wujudnya keperluan menubuhkan (Amanah),” katanya.

Turut sama dalam forum malam tadi ialah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.

Bagi Hisomuddin, Amanah memiliki potensi besar untuk diterima baik dalam arena politik tanah air dan perlu diberi lebih banyak ruang untuk dikenali pengundi.

“Dua pilihanraya kecil lepas tidak mendukacitakan dan melonjakkan sokongan rakyat kepada Amanah.

“Cuma bila ini parti baru, ada yang anggap ia parti bebas,” katanya.

Panel forum semalam turut disertai Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

COMMENTS

Wordpress (0)