Amanah perlu elak konflik dalaman, kata Faiz Fadzil

Amanah perlu elak konflik dalaman, kata Faiz Fadzil
Faiz Fadzil (tiga dari kiri) bersama Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, (dua dari kiri) serta kepimpinan AMANAH dan AWAN kawasan Kubang Pasu.

AMANAH perlu mengelakkan wujudnya konflik dalaman bagi memastikan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kekal menjadi peneraju dalam kepimpinan negara, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, iktibar boleh diambil atas kegagalan beberapa sejarah parti di luar negara yang tidak mampu untuk meneruskan kepimpinan setelah sepenggal mentadbir negara.

“Kegagalan Parti Demokratik Jepun perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak agar kita tidak menjadi kerajaan sepenggal.

“Sehubungan itu tiga konsep besar yang dipelopori oleh AMANAH harus menjadi pegangan agar kesinambungan kepimpinan PH dapat diteruskan.

“Progresif, inklusif dan peduli yang merupakan konsep besar tersebut harus diangkat oleh semua ahli AMANAH, ” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke 4 AMANAH kawasan Kubang Pasu, pada Sabtu.

Jelas Faiz lagi, ketiga-tiga konsep besar tersebut mampu diangkat sebagai agenda berterusan penyampaian khidmat serta polisi kerajaan PH.

Tegas beliau, perjuangan untuk membela nasib rakyat harus menjadi tunjang utama yang perlu diberi prioriti oleh semua pihak.

Yang pasti tambahnya, konsep besar tersebut mampu untujk membawa kesejahteraan kepada rakyat dan juga negara.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, Ketua AMANAH kawasan Kubang Pasu, Taib Abd Rahman serta kepimpinan Pemuda dan AWAN kawasan Kubang Pasu.