Amanah perlu jelas pendirian hudud dan demokrat Islam, kata IRF

Amanah perlu jelas pendirian hudud dan demokrat Islam, kata IRF

Parti Amanah Negara (Amanah) perlu jelas pendiriannya mengenai hudud, malah perlu mendidik umat Islam negara ini undang-undang itu bukan keutamaan syariah dan agama jika parti itu membawa identiti sebagai ‘demokrat Islam’.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, dalam satu temu bual dengan FMT seperti dilapor hari ini, mempersoalkan sama ada parti yang kurang setahun ditubuhkan itu mempunyai kekuatan mendidik masyarakat tentang perkara sedemikian.

“Fokus utama adalah mendidik masyarakat kerana sekarang ini rakyat obses dengan hudud. Mereka menganggap hudud salah satu aspek dan kehendak Syariah.

“Jika Amanah boleh mendidik masyarakat ia (hudud) bukan suatu keperluan, dan berhujah kenapa dan mengapa ia perlu dilakukan, saya fikir Amanah akan berjaya,”katanya. 

“Jika sekadar meletakkan ‘maqasid syariah’ sebagai objektif dan akhirnya tetap mahu melaksanakan syariah dan negara Islam, mereka tidak ada beza dengan Pas,” kata Dr Farouk, pakar kardiotorasik dan pensyarah kanan di Universiti Monash, Sunway.

Ujarnya lagi, seiring dengan imej yang cuba diketengahkan, “Muslim demokrat”, Amanah harus mencontohi Parti Ennahda di Tunisia atau setidaknya menjadi seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki.

“Apa yang perlu dilakukan Amanah untuk terus kekal pada masa hadapan dan relevan adalah bukan mempakejkan semula parti itu sebagai generasi kedua parti politik Islam, tetapi sebagai Muslim demokrat,” jelasnya.

Katanya, ia tidak cukup dengan slogan “maqasid shariah” (keutamaan untuk keadilan sejagat) yang sering digunakan pemimpin Amanah.

“Hal ini kerana, ‘maqasid’ itu sendiri adalah keadilan dan dengan melaksanakan hudud adakah kita berupaya mendekati keadilan atau tidak?,” kata Dr Farouk, dan menambah kajian mendapati lebih banyak ketidakadilan berlaku dalam negara melaksanakan hudud.

Dr Farouk memberi contoh Brunei, di mana hudud dikecualikan ke atas pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Sultan Brunei ‘tidak pandai berbuat salah’ sama ada atas sifat peribadi mahupun tugas rasmi dan bebas daripada sebarang hukuman.”

TAGS