Amanah perlu mengatur strategi dengan meneruskan gerak kerja di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar.
Menurutnya, meskipun Amanah hilang deposit di sembilan kerusi Dun, itu bukan rekod yang menghairankan kerana parti senior lain turut mengalami nasib sama iaitu PKR (10), DAP (7) dan Pas hilang wang pertaruhan di lima daripada 11 kerusi Dun ditandingi.
“Paling penting, Amanah sebagai parti baharu jangan tinggalkan jejak di 13 Dun itu. Jentera Amanah Sarawak perlu buat daya lonjakan sepanjang lima tahun ini menuju PRN akan datang. Perkukuh bilik gerakan, tambahkan keahlian.
“Itulah sebenarnya modus operandi yang membawa kepada kejayaan beberapa calon bebas di sana sehingga undi diterima mereka mengatasi calon parti.
“Apa lagi Amanah sebagai parti yang belum berusia setahun penubuhannya tetapi berani menyahut cabaran ke gelanggang pilihan raya,” kata beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Ditanya keupayaan calon Amanah di Dun Balingian yang mampu mengurangkan majoriti undi calon BN, beliau berkata, faktor anak muda turut mempengaruhi pilihan pengundi.
“Selain Balingian yang menampilkan calon tempatan berusia 37 tahun, kita dapat lihat calon Amanah di Gedong dan Semop juga anak muda masing-masing berumur 30 dan 35 tahun. Walaupun kedua-dua calon itu kalah tetapi tidak hilang wang deposit dan itu satu permulaan yang baik,” ujarnya.
Untuk rekod, calon Amanah, Nurzaiti Hamdan di N.58 Balingian meraih 1,244 undi manakala calon BN, Abdul Yaakub Arbi mendapat 4,208 undi dengan majoriti 2,964 undi.
Sementara itu, satu-satunya calon Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam sejarah pilihan raya negara ini, Rapelson Richard Hamit di N.26 Gedong mendapat 699 undi dan Fadillah Sabali di N.42 Semop memperoleh 878 undi.
Mengulas lanjut penyertaan Amanah pada PRN kali ke-11 yang berakhir pada 7 Mei lalu, Hisomudin berkata, semakin ramai masyarakat tempatan mulai mengenali parti baharu Islam itu dan mereka menyambut baik kewujudan Amanah.
“Warna oren kian dikenali. Hanya pada PRN lepas timbul kekangan dari segi limitasi jentera parti, faktor lokaliti dengan bertanding di kubu kuat PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan logistik yang terhad sepanjang tempoh berkempen.
“Kesemua hal itu perlu ditangani dari semasa ke semasa sepanjang tempoh lima tahun mendatang ini bagi mengumpul lebih ramai ahli dan penyokong Amanah,” tambahnya lagi.
Selain Amanah, PKR, DAP dan Pas, seramai 17 calon Bebas hilang deposit pada PRN Sarawak kali ini manakala Parti Reformasi Sarawak (Star) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) masing-masing hilang deposit di 10 dan empat kerusi Dun.
Mereka merupakan 62 calon atau 24 peratus daripada jumlah keseluruhan 226 calon yang hilang deposit pada PRN ke-11 pada Sabtu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua dilapor berkata akan terus komited melaksanakan program infrastruktur dan kem pendidikan di Sarawak walaupun hilang lima kerusi pada PRN lalu.
Di bawah gerak kerja Impian Sarawak, ujarnya, DAP telah melaksanakan lebih 60 projek sebelum ini termasuk sistem agihan air gravity, pembinaan jalan raya dan bekalan elektrik murah.