Malaysia Dateline

AMANAH Permatang Pauh bantu golongan bermasalah kerana PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh 3.0 atau ‘Total Lockdown’ tidak menghalang AMANAH kawasan Permatang Pauh untuk meneruskan agenda peduli rakyat, sebaliknya menggandakan usaha bagi membantu golongan memerlukan yang telah terkesan teruk ekoran PKP 3.0 yang dilaksanakan.

(GAMBAR ATAS: Ahmad Tarmizi (kanan sekali) sedang menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan Permatang Pauh. )

Terkini AMANAH kawasan Permatang Pauh telah turun padang ke kawasan Permatang Pasir dan Permatang Rawa bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan berupakan keperluan harian berasaskan makanan.

Menurut Timbalan Ketua AMANAH kawasan, Ahmad Tarmizi Jusoh, bantuan yang disalurkan adalah bagi membantu keluarga yang terjejas dari segi pendapatan, yang masih dalam proses kuarantin dan mereka yang memerlukan barangan berasaskan makanan.

“AMANAH kawasan Permatang Pauh berusaha sedaya upaya bagi membantu mereka yang menghadapi kesulitan khususnya dalam mendapatkan bekalan makanan dengan menyediakan penggerak untuk dimobilisasikan dengan kadar segera sebaik saja mendapat maklumat mengenai golongan atau keluarga terbabit.

“Turut diberi dokongan oleh AMANAH kawasan Permatang Pauh ialah peniaga kecil, mereka yang diberhentikan kerja dan menjalani kendiri serta keluarga yang memerlukan dalam kawasan Permatang Pauh,” ujar beliau.

Jelas Tarmizi lagi, semua MPKK Permatang Pasir dan Permatang Rawa telah turun padang bagi mengenal pasti golongan dan keluarga yang terkesan dan terjejas bagi disalurkan bantuan dan sokongan sedia ada.

Sementara itu tambah beliau, AMANAH kawasan Permatang Pauh siap sedia tanpa mengambil kira masa dan ketika, perbezaan fahaman politik dan juga bangsa atau agama untuk terus membantu mereka yang memerlukan sejajar dengan konsep rahmatan lil alamin.