AMANAH pilih Kedah konvensyen terakhir sebelum PRU14

AMANAH pilih Kedah konvensyen terakhir sebelum PRU14

Parti Amanah Negara (AMANAH) memilih negeri Kedah sebagai tempat untuk mengadakan konvensyen kali kedua mereka tahun ini bagi menjelaskan hasrat parti itu bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui pentadbiran negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir, AMANAH akan mengadakan Konvensyen Nasional 2017 pada 15 hingga 17 September depan di Hotel Royale Signature, Alor Setar Kedah.

Konvensyen dengan tema “Menjunjung Amanah Rakyat” itu merupakan himpunan terakhir yang mengumpulkan seluruh ahli AMANAH sebelum berhadapan dengan PRU14 yang dijangka berlaku bila-bila masa dari sekarang.

“Sehubungan itu kami menjangkakan seluruh ahli, penyokong dan pemerhati dari seluruh negara akan berkampung di sini bagi mendengar pandangan dan arahan kepimpinan khususnya melalui pidato presiden yang akan memberikan panduan hala tuju parti dalam menghadapi PRU14,” katanya pada sidang media di WISMA AMANAH Negara hari ini.

{loadposition myposition}

Selain itu, menurut beliau satu majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat Pakatan Harapan akan diadakan pada 15 September 2017 bertempat di perkarangan Wisma Harapan Baru, Stargate, Kedah.

“Program ini akan dihadiri seluruh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dengan pelbagai acara telah dirancang bermula kenduri rakyat yang akan bermula jam 6.30 petang disusuli konvoi motosikal, permainan rakyat, pertunjukan drone dan kemudian ceramah pimpinan Pakatan Harapan di sebelah malam,” katanya.

Bagi himpunan itu, AMANAH menyasarkan kehadiran lebih 20,000 rakyat negeri Kedah dan kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, Anuar turut mengumumkan perlembagaan AMANAH yang telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) selepas dua kali dipinda.

CATEGORIES
TAGS