Malaysia Dateline

AMANAH, PKR dan DAP Kedah tonjol anak muda kerusi Parlimen PRU15

Pengumuman calon-calon Pakatan Harapan (PH) negeri Kedah di Laguna, Merbok menyaksikan AMANAH menampilkan muka baru, Muaz Abdullah yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH kawasan Padang Terap sebagai calon bagi kerusi Parlimen Padang Terap.

Manakala PKR pula menampilkan muka baru iaitu Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Dr Taufiq Johari yang juga merupakan Ketua Pemuda PH Kedah seagai calon bagi kerusi Parlimen Sungai Petani menggantikan Dato Johari Abdul.

Sementara itu DAP turut mendapat kerusi tunggal bagi Parlimen Jerai setelah anak muda, Zulhazmi Shariff yang juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP Kedah dicalonkan sebagai calon bagi kerusi tersebut.

PKR juga diwakili oleh Dr Mohamed Fadzil bagi kerusi Parlimen Jerlun. Bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu pula calonnya ialah Aizuddin Ariffin dan Zulkifly Mohamad akan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Pendang.

Untuk kerusi Parlimen Alor Setar, Simon Ooi Tze Min yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR akan menjadi calon dan penyandang kerusi Parlimen Merbok, Nurin Aina kekal sekali lagi akan mempertahankan kerusi yang dimenangi beliau dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Dr Azman Ismail yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah kekal sekali lagi akan mempertahankan kerusi beliau mewakili PKR. Karupaiya Mutusami yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai sekali lagi akan mempertahankan kerusi beliau atas tiket PKR.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga merupakan Setiausaha Agong PKR sekali lagi akan mempertahankan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Pengerusi PH Kedah, Dato Wira Mahfuz Omar akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena yang dimenangi beliau sebelum ini. Begitu juga bagi kerusi Parlimen Baling akan ditandingi oleh Ketua AMANAH kawasan Baling, iaitu Johari Abdullah.

AMANAH akan diwakili oleh Dato Latipah Md Yatim bagi kerusi Parlimen Sik. Beliau juga merupakan mantan Pengarah SPRM bagi beberapa buah negeri.

Pengumuman calon-calon yang telah dibuat oleh Pengarah Penerangan dan Komunikasi PH negeri Kedah, Dato Dr Ismail Salleh turut dihadiri oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu serta pimpinan PH negeri Kedah.

Baca juga Kapal bocor di lautan bergelora: Ada bertungkus lumus, ada yang tidak endah apa yang berlaku

Baca juga Membimbangkan! Nak dekat PRU15, negeri ini pula melambung lebih tiga kali ganda kes demam denggi