Malaysia Dateline

AMANAH, PKR, DAP teras PH perlu solid, kata Mujahid

Tiga teras parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu AMANAH, PKR dan DAP mesti terus kekal dalam keutuhan agar dapat mengembalikan semula cita-cita yang tertangguh sebelum ini, demikian tegas Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Beliau percaya, rakyat akan menolak jika ketiga-tiga parti ini dilihat berbalah, tidak solid dan tidak ada prinsip yang tegas.

“Saya menyeru pimpinan ketiga-tiga parti ini jangan saling tuduh menuduh, dan menghentikan segala serangan sama ada pemuda atau peringkat pimpinan,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga berkata, AMANAH, PKR dan DAP boleh mewujudkan kerjasama lebih baik dengan menumpukan kepada agenda menolak parti yang korup, membelakangkan mandat rakyat, ada kepentingan diri serta memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Kita satukan solidariti kita melalui 3 teras parti ini untuk menyusun strategi kita bagi menyempurnakan tugas kita yang terbantut.

“Saya yakin kerana sebab yang sama rakyat akan memberi mandat kepada kita,” ujar beliau yang begitu yakin PH merupakan harapan rakyat pada kali ini.

Pakatan Harapan diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 yang lalu di atas satu tujuan iaitu menentang rasuah dan membaiki sistem pentadbiran negara yang lebih telus, amanah dan bertanggungjawab.

Dengan cita-cita ini rakyat memberi peluang kepada Pakatan Harapan yang pada awalnya didominasi oleh AMANAH, PKR dan DAP. Atas niat dan cita-cita yang sama Bersatu melalui Tun Mahathir menyertai Pakatan Harapan.

Jatuhnya Pakatan Harapan ekoran tindakan beberapa pimpinan Bersatu dan PKR bukannya rakyat menolak cita-cita Pakatan Harapan.