AMANAH Pokok Sena bantah pusat judi haram Taman Angsana

AMANAH Pokok Sena bantah pusat judi haram Taman Angsana

Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai usaha pusat judi( Sports Toto) akan beroperasi di Taman Angsana, Pokok Sena, AMANAH kawasan Pokok Sena telah menzahirkan bantahan mengenai usaha tersebut kepada Kementerian Kewangan dan juga Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS),

Ketua AMANAH kawasan Pokok Sena, Umar Awang berkata,, pengurusan MBAS akan mengambil langkah yang wajar supaya premis berkenaan tidak akan beroperasi sepertimana yang dijangka.

Umar Awang

“Pihak Kementerian Kewangan telah pun memaklumkan bahawa tiada lesen baru dikeluarkan sejak tahun 1990 lagi.

“Pusat ini juga merupakan perubahan tempat dari Jalan Pegawai, Alor Setar ke Taman Angsana, Pokok Sena.

“Walau bagaimana pun pihak pengurusan MBAS akan mengambil langkah yang wajar bagi memastikan premis tersebut tidak beroperasi, ” tegasnya.

Manakala Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataan beliau berkata bahawa ia bukannya lesen baru yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Namun begitu tambahnya, adalah difahamkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta PDRM telah pun memberi sokongan sebelum ini.

Justeru itu katanya, adalah sesuatu yang tidak wajar apabila PBT dan PDRM tidak mengadakan konsultasi dengan jawatankuasa penduduk, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta juga jawatankuasa kariah masjid.

” Adalah difahamkan seharusnya mereka perlu mendapat sokongan daripada PBT dan PDRM

“Sebaliknya kedua-dua agensi ini telah pun memberi sokongan tersebut dan diluluskan untuk berpirndah ke lokasi yang dinyatakan.

“Tindakan segera perlu diambil oleh MBAS supaya pembukaan itu ditangguhkan sehingga segala perkara berkaitan diperbetulkan, ” tambah beliau.

Menurut Mahfuz lagi, beliau telah pun dimaklumkan oleh MBAS terdapat beberapa kesilapan semasa kelulusan dan sokongan semasa permohonan tersebut sebelum ini.

Jelasnya ia akan diperbetulkan kembali selepas mendengar bantahan serta ketidak wajaran premis tersebut diwujudkan dilokasi yang dinyatakan.

Lebih melegakan katanya, pusat tersebut tidak akan dibenarkan beroperasi kerana lesen kebenaran premis dan iklannya akan ditarik balik selepas beberapa proses serta prosidur dilaksanakan selepas ini.