AMANAH Pokok Sena disokong rakyat, tubuh 26 lagi cawangan selepas PRU14

AMANAH Pokok Sena  disokong rakyat, tubuh 26 lagi cawangan selepas PRU14

Umar Awang

Komitmen yang bersungguh-sungguh serta gerak kerja yang tidak pernah mengenal penat dan lelah, menjadikan AMANAH sebagai salah satu parti yang telah berjaya mendapat sokongan sebahagian besar masyarakat bagi kawasan Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Menurut Ketua AMANAH Kawasan Pokok Sena, Umar Awang, sokongan yang bercambah ini adalah hasil turun padang sehingga ke peringkat akar umbi yang telah pun diteruskan sejak pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu sehingga kini.

Malah katanya lagi, pelbagai program yang dilaksanakan adalah menjurus kepada kebajikan dan membantu golongan yang memerlukan dalam pelbagai aspek.

“Sumbangan kepada golongan asnaf tidak pernah dilupakan dan diteruskan sehingga saat ini.

“Kesan daripada gerak kerja yang dijalankan secara serius berjaya membuahkan hasil setelah masyarakat menilai sendiri pelbagai program yang dianjurkan dalam kawasan Pokok Sena.

“Sebagai bukti AMANAH kawasan Pokok Sena telah berjaya menambah keahlian sehingga mencecah lebih dari 1700 orang hingga kini, ” tegasnya.

(dua dari kiri) Ridzwan Abu Bakar, Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Kedah menerima borang keahlian baru pada Sabtu lalu.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pokok Sena turut berkata, sebelum PRU baru-baru ini, hanya terdapat 11 cawangan AMANAH dalam kawasan Pokok Sena.

Namun begitu ujarnya, sokongan yang diterima meningkat secara mendadak apabila 26 lagi cawangan telah berjaya ditubuhkan selepas kemenangan PH dalam PRU ke 14.

“Setakat ini AMANAH kawasan Pokok Sena telah berjaya menubuhkan 40 cawangan dan akan meningkat dalam tempoh terdekat.

“Toleransi yang menjadi amalan menjadikan AMANAH sebagai salah sebuah parti yang mendapat keyakinan masyarakat setempat sehingga kini.

“Tanpa ekstrim dan melampau, masyarakat dapat menilai sendiri setiap gerak kerja dan sistem yang diguna pakai dalam mendekati mereka, ” jelasnya.

Tambahnya lagi, yang terbaru ialah ialah kemasukan 70 ahli baru AMANAH bagi Kampung Keda dan Kampung Batu 20.

Kesan daripada itu katanya, kini AMANAH menjadi salah sebuah parti pilihan yang mendapat kepercayaan masyarakat dan mampu memberi pembelaan sepertimana yang diharapkan.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote