AMANAH Pokok Sena komited santuni pelbagai golongan sejak ditubuhkan

AMANAH Pokok Sena komited santuni pelbagai golongan sejak ditubuhkan

Umar Awang

AMANAH kawasan Pokok Sena telah turun padang menyantuni pelbagai golongan masyarakat sejak penubuhannya pada November 2015 lagi.

Seringkali ia disempurnakan bersama-sama dengan Ahli Parlimennya, Datuk Mahfuz Omar serta anggota parti komponen yang ada dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Umar Awang berkata, antara program yang menjadi rutin AMANAH kawasan Pokok Sena ialah mengadakan ceramah pimpinan, dialog dengan masyarakat setempat serta sembang santai.

“Kerap kali kita membuka ruang yang seluas-luasnya bagi penduduk sekitar Pokok Sena untuk mengetahui perkembangan isu semasa.

“Ia bukan saja penerangan mengenai isu nasional, sebaliknya isu lokal yang belum diselesaikan oleh kerajaan negeri Kedah.

“Sembang santai turut dilaksanakan sehingga sekarang dengan menyantuni masyarakat dalam kelompok yang kecil,” tegasnya lagi.

Selain itu ujarnya, program turun padang seperti khidmat rawatan kesihatan percuma, pertandingan sepak raga tuju, rekreasi dan riadah untuk belia dan penduduk kampung turut disediakan.

“Sumbangan bagi membantu meringankan beban golongan miskin dan daif menjadi amalan sejak AMANAH ditubuhkan lagi.

“Bantuan kembali ke sekolah, membantu mangsa banjir dan sumbangan kepada ibu tunggal, warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan merupakan amalan yang senantiasa dipraktikkan.

Umar ketika memberi penerangan kepada penduduk setempat isu semasa di Pokok Sena.

“Mesyuarat penyelaras PH turut diadakan untuk beberapa kali bagi mengenal pasti pelbagai permasalahan masyarakat yang timbul,” jelasnya.

Malah katanya lagi, dengan keanggotaan seramai lebih 600 ahli AMANAH di kawasan Pokok Sena kini membuktikan, gerak kerja yang lebih mantap dapat dilakukan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Beliau juga berkata, masyarakat keturunan Cina juga diberi perhatian melalui bantuan, jamuan dan pengedaran buah limau sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pokok Sena baru-baru ini.

Umar (hujung kanan) bersama pimpinan AMANAH Negeri Kedah.

“Yang terbaru AMANAH kawasan Pokok Sena telah berjaya menembusi beberapa kawasan Pas dan Umno dengan mengedarkan risalah penerangan sehingga ke kampung-kampung.

“Turut diadakan ialah pelancaran cawangan Pancur, Padang Hasan dan Limbong.

“Di samping itu pelancaran PDM atau Pusat Daerah Mengundi turut dilancarkan bagi Pekan Lama dan Pancur,” ujarnya.

Sehubungan itu tambahnya dengan adanya Pusat Operasi AMANAH kawasan Pokok Sena, ia mampu untuk merealisasikan impian memastikan AMANAH dan PH menerajui kerusi Pokok Sena dalam PRU14 akan datang.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0