Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang desak kerajaan tidak setarafkan negara sebagai boneka asing

AMANAH Pulau Pinang menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dakwaan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan Republik China sebagai ‘elder brother’ kepada Malaysia sebagai suatu penghinaan terhadap negara ini.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, di pentas antarabangsa Malaysia merupakan sebuah negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.

“AMANAH Pulau Pinang mengambil berat tindakan Hishammuddin sewaktu pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi yang menyifatkan negara tersebut sebagai ‘elder brother’ kepada Malaysia.

“AMANAH Pulau Pinang menuntut Hishamuddin supaya menarik balik kenyataan tidak bermaruah tersebut dan memohon maaf kepada rakyat negara ini.

“Kenyataan tersebut sepertimana yang dinyatakan jelas merupakan suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita seolah-olah meletakkan negara ini tarafnya sebagai boneka asing,” tegas beliau lagi.