Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang komited perkuatkan PH Negeri, Persekutuan

AMANAH Pulau Pinang komited dan akan bersama-sama memperkuatkan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan juga Persekutuan, kata Pengerusnya, Dr Roslan Ahmad.

Beliau berkata, kemelut yang timbul sejak Isnin adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Jelasnya lagi, mereka yang mengkhianati kesepakatan dalam PH dan mencabuli mandat rakyat amatlah dikesali.

“Kegelojohan pemimpin yang ingin berkuasa dengan tidak melalui proses yang sah, pentingkan diri dari kepentingan negara haruslah ditolak dan dinyahkan.

“Rakyat harus sedar bahawa PH yang baru memerintah selama 20 bulan telah menunjukkan prestasi yang baik.

“Suasana tidak menentu yang sengaja dicetuskan memberi kesan kepada BSKL sehinggakan rakyat bosan dengan budaya politiking yang berterusan serta tidak membantu memberi solusi dalam membina semula negara, ” tegasnya.

Sehubungan itu ujarnya, AMANAH Pulau Pinang akan berusaha untuk memantapkan koalisi dengan Dap dan PKR serta juga menyeru rakan-rakan pimpinan dalam Bersatu agar kembali berada dalam kerajaan PH.

“Kami amat berharap agar kemelut ini dapat diatasi melalui proses yang sah dan yakin Yang Di Pertuan Agong dapat membuat keputusan yang terbaik untuk negara.

“Sejajar dengan itu AMANAH Pulau Pinang menyeru supaya rakyat tenang, sabar dan berfikiran waras dalam suasana tatkala ini.

“Jangan ada mana-mana pihak yang melibatkan diri dalam aktiviti yang mampu membawa kepada suasana tidak tenteram dan mencelarukan, ” tambah beliau.