Malaysia Dateline

AMANAH Pulau Pinang peduli barisan hadapan, asnaf rentas fahaman parti

AMANAH Pulau Pinang singgah menyantuni anggota di Balai Bomba Kuala Muda, Penaga.

Penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mematahkan semangat juang dan peduli insan yang menjadi keutamaan AMANAH Pulau Pinang.

Golongan marhaen dan mereka yang berada di barisan hadapan khususnya diberi pembelaan dalam mendepani impak pandemik tersebut.

Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad berkata, pelbagai program menyantuni golongan yang memerlukan telah dilaksanakan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan sejak Mac lalu.

“Kelmarin, AMANAH Pulau Pinang meneruskan program amal tersebut dengan mengunjungi dan menziarahi golongan yang memerlukan dalam kalangan asnaf yang perlu diberi perhatian serta pembelaan khususnya di kawasan Parlimen Kepala Batas.

“Objektif utama program ini yang dinamakan sebagai Jelajah Ramadan AMANAH Pulau Pinang adalah bagi menyumbang sebanyak 50 pek barangan keperluan harian kepada golongan tersebut,” jelasnya.

Menurut Dr Roslan, AMANAH Pulau Pinang sentiasa prihatin akan nasib rakyat Kepala Batas dan akan terus membantu sedaya mungkin agar kumpulan yang memerlukan tetap mendapat pembelaan tanpa dipinggirkan oleh mana-mana pihak.

Sumbangan yang diberikan oleh AMANAH Pulau Pinang, katanya, turut merangkumi semua golongan asnaf tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mereka.

Beliau memberitahu AMANAH Pulau Pinang turut menyantuni anggota Bomba di Balai Bomba Kuala Muda, Penaga yang komitmen berkhidmat termasuk sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Hadir sama turun padang ialah Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Yusoff Noor; Naib Pengerusi 1, Dr Zaidi Zakaria dan Naib Pengerusi II, Ahmad Fahmi Abu Bakar.

Antara asnaf di Kepala Batas yang menerima sumbangan barangan makanan.